Isnin, 7 March 2016 | 3:09pm

Jabatan Imigresen Tawau tahan 31 PATI

ANGGOTA Penguat kuasa keselamatan memeriksa salah sebuah premis bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Ops Bersepadu di Tawau.- Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Jabatan Imigresen dengan bantuan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu di di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 4 pagi itu, seramai 16 lelaki dan 15 wanita berusia antara 18 hingga 68 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Jabatan Imigresen Daerah Tawau, Noraini Rasi, berkata semua warga Indonesia dan Filipina itu ditahan dalam serbuan berasingan di kawasan kilang, perumahan, pasar ikan, hotel bajet dan kedai runcit sekitar bandar ini.

"Kesemua PATI yang ditahan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

"Selepas semua urusan berkaitan dokumentasi diselesaikan, mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing," katanya di sini, sebentar tadi.

Noraini berkata, pihaknya kini berusaha memastikan PATI dapat diusir secepat mungkin melalui program 3+1 yang bermula sejak Januari lalu dan berakhir pada 31 Disember nanti.

"Apa yang penting sekarang ialah menghalang kemasukan PATI ke negara ini, selain mengenakan tindakan tegas terhadap majikan yang masih melindungi PATI selepas tamat tempoh program 3+1 nanti," katanya.

Program 3+1 merujuk kepada program serah diri sukarela membabitkan sama ada majikan sendiri menyerahkan PATI atau warga asing terbabit menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Berita Harian X