Isnin, 7 March 2016 | 7:31am

AmBank sedia RM650j bantu PKS tahun ini

KUALA LUMPUR: AmBank (M) Bhd (AmBank) meneruskan komitmennya untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) apabila menawarkan pembiayaan berjumlah RM650 juta, tahun ini.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Komersial Perbankan Borong (Peruncitan), Yeow Swee Yun, berkata pinjaman yang akan ditawarkan kepada PKS itu merangkumi dua pakej di bawah jenama pembiayaan utamanya iaitu BizSolutions.

Pakej berkenaan adalah Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) Portfolio Guarantee Term Loan dengan nilai pembiayaan RM300 juta dan pakej BizSolutions 1Six8 membabitkan pembiayaan RM350 juta.

"Kami jangkakan pembiayaan RM650 juta ini dapat diluluskan dan dimanfaatkan sekurang-kurangnya 200 hingga 300 pelanggan kami.

"Langkah kami menawarkan pembiayaan kepada PKS adalah untuk membantu usahawan terbabit mengembangkan perniagaan, seterusnya menjadi syarikat korporat dengan pembiayaan maksimum RM100 juta," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

BizSolutions yang diperkenalkan sejak tahun lalu direka khusus mengikut keperluan perniagaan PKS tempatan untuk mula bertapak dan terus kekal berdaya saing dalam industri.

Ia menghimpunkan pelbagai produk menerusi pakej berbeza mengikut jenis perniagaan dan keperluan pelanggannya meliputi pembiayaan modal kerja, hartanah komersial, eksport dan insurans dalam produk seperti CGC Portfolio Guarantee Term Loan, BizSolutions 1Six8, BizSolutions 2Trad3 serta BizSolutions Fortune$.

April tahun lalu, AmBank dengan kerjasama CGC melancarkan pakej pembiayaan berjumlah RM300 juta dan ia disalurkan sepenuhnya kepada PKS.

Pada Julai 2015, AmBank menawarkan pembiayaan berjumlah RM600 juta menerusi 1Six8 dan sejumlah RM250 juta sudah diluluskan sepanjang lima bulan selepas dilancarkan, dengan bakinya dibawa ke tahun ini.

Setakat tahun lalu, AmBank sudah menyalurkan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM87 bilion dengan RM38 bilion daripadanya adalah pembiayaan untuk korporat dan PKS.

Daripada RM38 bilion, lebih 2,000 PKS menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM12 bilion.

Swee Yun berkata, AmBank mengorak langkah proaktif dalam sektor perbankan borong dengan memperkukuh segmen pembiayaan khusus kepada PKS tempatan, seiring peningkatan permintaan dalam kumpulan berkenaan.

Katanya, industri PKS menyumbang hingga 35.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sasaran 41 peratus pada 2020, justeru bank melihat ia sebagai peluang yang perlu diterokai.

"Matlamat kami adalah mengubah serta memperbaiki cara perniagaan PKS dalam mengendalikan aliran tunai, pembayaran dan penerimaan mereka iaitu bermula daripada pembiayaan aset yang mudah hinggalah modal kerja," katanya.

Berita Harian X