Khamis, 23 Oktober 2014 | 8:46am
PEMAIN Real Madrid, Karim Benzema (tengah) meraikan bersama rakan sepasukan, Marcelo (kanan) selepas menjaringkan gol dalam aksi bertemu Liverpool di Anfield awal pagi tadi. - Foto Reuters

Real Madrid tundukkan Liverpool 3-0 di Anfield


PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (kanan) bersaing dengan pertahanan Liverpool, Glen Johnson pada aksi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP

LIVERPOOL: Cristiano Ronaldo terus menyuntik inspirasi Real Madrid sekali gus mendekati rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah apabila penyandang juara itu mudah menundukkan Liverpool, 3-0 di Anfield, awal pagi tadi.

Ronaldo menggegarkan jaring tuan rumah untuk gol pembukaan Real pada minit ke-23, sekali gus merapati rekod penjaring terbanyak Raul iaitu 71 gol.

Penyerang Portugal itu kini sudah meledak 20 gol untuk musim ini dan ketika Liverpool mencari semula rentak, giliran penyerang Perancis, Karim Benzema pula meledak dengan dua gol pada minit ke-30 dan m-41.

Kemenangan Real itu menyaksikan juara 10 kali itu kini selesa menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan mengutip mata maksimum selepas tiga perlawanan.

Liverpool yang akan bertandang ke Bernabeu pada 4 November ini hampir menyaksikan harapan agak pudar untuk melangkah ke pusingan 16 pasukan kalah mati.


PEMAIN Liverpool, Raheem Sterling (kanan) bersaing dengan pemain Real Madrid, Alvaro Arbeloa pada aksi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Ia amat istimewa, ia gol pertama saya di Anfield dan saya amat gembira," kata Ronaldo.

"Kami mengetahui Anfield adalah gelanggang yang sukar tapi kami bermain cukup hebat dalam 45 minit pertama permainan serta pulang dengan kemenangan," katanya.

"Saya tidak perlu bimbang mengenai rekod jaringan dalam Liga Juara-Juara Eropah. Saya tahu saya boleh mengatasinya. Saya dan Lionel Messi kini semakin hampir," katanya. - AFP

Berita Harian X