Ahad, 6 March 2016 | 12:07am
INDAH Ruhaila nafi tiru penampilan atris lain dari segi penggayaan rambut. Foto Adi Safri

Indah Ruhaila sanggup berhabis kerana rambut


Berbanding awal kemunculannya tiga tahun lalu, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu, Percayalah, Indah Ruhaila dilihat semakin berani mencuba-cuba apabila sering tampil dengan imej berbeza.

Membina populariti menerusi program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) 2013, penyanyi kelahiran Pasir Gudang, Johor itu dilihat lebih selesa berambut panjang pada permulaan langkahnya dalam industri hiburan.

Imej yang sama turut dibawa Indah, 28, ketika beraksi pada kemuncak Anugerah Juara Lagu 2014, mempertaruhkan lagu ciptaan Aiman itu. Namun, imejnya itu mendapat perhatian apabila Indah dikatakan kelihatan lebih matang berbanding usianya sebenar.

Bagaimanapun, setahun lalu, penyanyi yang memiliki nama sebenar, Siti Ruhaila Hussein, 29, itu mengorak langkah berani apabila memotong pendek rambutnya untuk menyerlahkan sisi berbeza dirinya hingga disalah anggap sebagai 'pengkid'.

Menepis dakwaan itu, Indah berkata, imej berambut pendek sudah lama menjadi impiannya cuma dirinya belum mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.

INDAH Ruhaila dengan satu daripada gaya rambut berwarna. - Foto Adi Safri

Sejak itu, Indah semakin galak mencuba pelbagai gaya. Tidak sekadar memotong pendek rambut, Indah juga mewarnakan mahkota yang menjadi kebanggaan wanita itu. Bermula dengan rona perang gelap, Indah terus bereksperimen apabila memilih warna berani bagi menterjemahkan kematangannya dalam penampilan.

Keberaniannya itu semakin ketara apabila Indah memilih rona keemasan untuk menyerikan mahkotanya ketika menghadiri kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-30, Januari lalu. Tidak jemu menampilkan imej segar, Indah sekali lagi menukar warna rambutnya kepada ungu gelap dan terbaharu, mencuba warna merah jambu.

"Hampir 27 tahun berambut panjang, akhirnya saya mempunyai kekuatan untuk memotong pendek rambut kerana ingin memberikan pembaharuan kepada imej. Selepas berambut pendek, saya semakin selesa dengan imej ini meskipun sesekali rindu untuk kembali berambut panjang.

"Sejak mula mewarnakan rambut, saya semakin berani mencuba terutama dengan rona terang. Setakat ini, saya pernah dua kali menukar warna rambut dan sedang berkira-kira untuk memilih rona lain. Mungkin turqoise menjadi pilihan kerana saya tertarik dengan rona lembut itu," katanya.

Indah berkata, kegemarannya menukar warna rambut menuntutnya supaya memberi lebih perhatian kepada aspek penjagaan mahkotanya supaya tidak cepat rosak. Setiap dua hari, Indah akan merawatnya dengan penggunaan masker khusus supaya rambutnya sentiasa sihat dan bermaya.

INDAH Ruhaila di majlis pelancaran Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) iaitu Radio Kool FM di Sime Darby Convention Centre. - Foto Saadiah Sulaiman

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak berdepan masalah rambut yang serius. Saya memang menitikberatkan penjagaan rambut malah tidak lokek memperuntukkan sedikit belanja untuk menjaganya. Setiap dua bulan sekali, saya akan ke salun untuk melakukan rawatan rambut intensif.

"Saya tidak kisah melakukan semua itu kerana imej dan penampilan juga memainkan peranan penting sebagai insan seni. Saya banyak melakukan kajian menerusi internet dan pembacaan untuk mendapatkan informasi mengenai gaya terkini, namun tidak sehingga membiarkan diri menjadi mangsa fesyen," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu, Di Sebalik Takdir itu bagaimanapun menafikan, keberaniannya menukar imej secara drastik itu kerana ingin meniru teman seperjuangannya dalam AF 2013, Aisyah Aziz yang terlebih dulu mewarnakan rambutnya dengan kombinasi rona kelabu dan ungu.

Bagi Indah, tidak wajar perubahan warna rambut yang kerap dilakukannya dikaitkan sebagai cubaan untuk meniru individu tertentu kerana sebagai penyanyi yang mengikuti aliran fesyen semasa, dirinya perlu berani melakukan perubahan supaya imejnya tidak membosankan peminat.

"Trend menukar warna rambut semakin popular. Bukan hanya Aisyah tetapi selebriti seperti Nabila Huda, Nad Zainal dan Kaka Azraff juga menukar penampilan mereka apabila memilih rona berani ketika mewarnakan rambut. Tidak perlu dibangkitkan isu saya meniru imej Aisyah atau sesiapa saja kerana ia adalah trend semasa.

"Sebagai penyanyi yang peka terhadap penampilan dan imej terkini, saya perlu berani melakukan pembaharuan supaya peminat melihat kelainan dalam diri.

"Saya sentiasa ingin kelihatan segar dan mencabar diri dengan bereksperimen, seiring dengan peralihan masa. Dalam mencari kesesuaian, pasti saya juga melakukan kesilapan tetapi pengalaman itu mematangkan saya dalam mengenal pasti imej yang serasi dengan diri," katanya.

TIGA gaya rambut berbeza Indah Ruhaila.

Indah berkata, perubahan imejnya dilakukan untuk memberikan kesegaran kepada penampilannya kerana bimbang peminat akan bosan jika sering muncul dengan gaya sama. Biarpun sering muncul dengan imej berbeza, Indah bersyukur kerana tunangnya tidak pernah membantah tindakannya itu.

"Tunang saya tidak pernah merungut dengan warna rambut terbaharu ini. Dia memahami kerjaya saya, malah turut mencadangkan beberapa warna lain supaya saya tampil lebih segar.

"Sebagai artis, saya perlu peka terhadap penampilan dan imej. Disebabkan itu, saya warnakan rambut supaya tidak terikat dengan imej yang sama seperti tahun lalu. Artis perlu berani bereksperimen dengan gaya yang menonjol asalkan tidak keterlaluan," katanya.

Mengulas mengenai lagu terbaharunya, Di Sebalik Takdir yang dikatakan kurang mendapat sambutan berbanding single pertamanya, Percayalah, Indah menyifatkan semua itu sebagai rezeki yang telah tertulis.

Baginya, bukan mudah untuk meramalkan sama ada sesuatu lagu akan mendapat sambutan atau sebaliknya kerana kehendak penggemar muzik tempatan sentiasa berubah-ubah.

Berita Harian X