Ahad, 6 March 2016 | 12:06am
SUASANA di dalam Gua Kelam yang menjadi tarikan. - Foto Eizairi Shamsudin

Landskap rahsia bagai taman bunian di Gua Kelam


DESTINASI pelancongan wajib dikunjungi jika bertandang ke Perlis. - Foto Adi Safri

PENGUNJUNG perlu merentasi jambatan gantung menuju ke Secret Garden of Perlis. - Foto Adi Safri

LANDSKAPNYA mempersonakan dengan pemandangan alam semula jadi seperti bukit-bukau, sungai dan suasana desa yang mendamaikan, namun anehnya ia terletak di penghujung jalan sebuah gua batu kapur.

Bunyinya kedengaran agak janggal, mungkinkah taman bunga itu dihuni bunian, seolah-olah terpelihara walaupun kedudukannya sangat terpencil atau ia sekadar fantasi.

Bukan fantasi! Ini kerana taman firdaus itu benar-benar wujud di alam nyata.

Bukan dihuni bunian, sebaliknya diselenggara pihak berkenaan untuk menggamit kehadiran pelancong. Itulah Taman Rahsia Perlis atau Secret Garden of Perlis yang terletak di Taman Rekreasi Gua Kelam.

Pelancong atau pengembara yang memilih Kangar sebagai destinasi percutian keluarga, Gua Kelam adalah produk pelancongan terletak di utara Semenanjung yang wajib dikunjungi!


KEADAAN dalam gua diterangi cahaya lampu untuk keselesaan pelancong. - Foto Adi Safri

Laluan pelombong bijih timah

Gua Kelam adalah antara gua batu kapur tercantik di Malaysia.

Di dalam gua ini terdapat terowong yang panjangnya 370 meter dan terletak berhampiran pekan kecil Kaki Bukit, kira-kira 33 kilometer (km) di utara Kangar, Perlis.

Dinamakan Gua Kelam sempena keadaan dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini. Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap.

Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang diberikan oleh pelombong bijih timah sempena kegelapan gua itu sendiri.

Mereka terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua. Gua Kelam menyediakan laluan interpretasi gua sepanjang 1.5 km meliputi jalan di atas simen, tanah dan laluan anak sungai.

Pelancong berpeluang melihat bekas landasan troli bijih yang dibina daripada besi dan kayu serta laluan yang disusun menggunakan batu-batuan oleh pelombong bijih timah. Malahan, pembinaan pintu gerbang oleh tauke lombong bagi menandakan kawasan sempadan konsesi juga dapat dilihat di dalam gua ini.

Pelbagai jenis binatang seperti kelawar, ular dan labah-labah, jika pelawat bernasib baik, boleh terserempak.


PINTU masuk ke ke Gua Kelam yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menjalankan aktiviti riadah. - Foto Eizairi Shamsudin

Berjalan di atas titi kayu

Gua Kelam juga adalah satu daripada gua batu kapur Formasi Sentul yang berada dalam Banjaran Nakawan.

Ia terletak di dalam Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan 2,000 hektar.

Apabila merentasinya, disediakan sebuah jambatan gantung. Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan jalan gua atau cave walk.

Sungai bawah tanah yang panjangnya lebih kurang 400 meter mengalir melalui banjaran batu kapur dapat dilihat apabila merentasi gua ini. Sungai bawah tanah ini adalah fenomena kejadian semula jadi. Bekalan elektrik disediakan untuk pelawat menikmati keindahan dalam gua.

Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris menyedari bahawa laluan sungai di sini adalah cara yang baik untuk mengangkut bijih timah dari sebuah lombong berhampiran sungai ini menerusi gua bawah tanah ke Kaki Bukit.

Kini pengunjung boleh berjalan menerusi gua ini sekitar 30 minit sehingga tiba di Secret Garden of Perlis menggunakan titi kayu atau jambatan gantung yang diterangi cahaya lampu.


TAMAN Rahsia Perlis atau Secret Garden of Perlis yang terletak di Taman Rekreasi Gua Kelam. - Foto Eizairi Shamsudin

LANDSKAP Taman Rekreasi Gua Kelam sentiasa diselenggara untuk mengekalkan keindahannya. - Foto Eizairi Shamsudin

Gua paling bersih

Jambatan gantung yang merentasi terowong Gua Kelam memang menjadi tarikan pelancong.

Anak sungai yang mengalir di bawah jambatan berkenaan mengalir terus ke Sungai Perlis. Pemandangan terowong yang sesetengahnya diterangi lampu berwarna hijau menambah keunikan batu kapur Gua Kelam dan kelihatan seperti butiran mutiara yang bergemerlapan!

Penulis berpeluang menjejakkan kaki buat kali pertama ke dalam Gua Kelam baru-baru ini apabila menyertai ekspedisi Kembara Semenanjung Malaysia 2016 anjuran Hikers Climber Adventure Team (HCAT), Shah Alam, Selangor selama lapan hari.

Sebagai tambahan, penulis pernah menerokai beberapa gua batu kapur di negeri Perak dan Selangor sebelum ini, namun apabila membandingkannya dengan Gelam Kelam, ditambah dengan pesona Secret Garden of Perlis, keindahan gua ini menduduki tempat pertama!

Kebersihannya pula sentiasa dipelihara dan kemudahan awam yang terdapat di sini, diselenggara dengan sempurna.

Gua Kelam dahulunya terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah yang menghasilkan bijih bermutu tinggi. Gua ini pernah menjadi jalan penghubung penduduk Wang Kelian (kawasan sempadan Malaysia-Thailand, berhampiran bandar Satun, Thailand) dengan pekan Kaki Bukit.

Bekas Exco kerajaan negeri Perlis, Datuk Loh Ah Tong membina sebuah jambatan gantung dengan perbelanjaan RM15,000 untuk menaik taraf Gua Kelam sebagai destinasi pelancongan, menjadikannya produk pelancongan popular di utara tanah air, sekali gus memberi mandat kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk membangunkan kawasan Gua Kelam sebagai Taman Rekreasi.

Mulai April 2009, kerajaan negeri Perlis membuat keputusan, segala kerja mengurus, membangun dan penyelenggaraan Gua Kelam diselia oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.


PELANCONG atau pengembara yang memilih Kangar sebagai destinasi percutian keluarga, Gua Kelam adalah produk pelancongan terletak di utara Semenanjung yang wajib dikunjungi. - Foto Eizairi Shamsudin

INFO

Bayaran masuk:

  • Dewasa RM1
  • Kanak-kanak (bawah 18 tahun) RM0.50
  • Telefon: 04 976 5966 (Jabatan Perhutanan Negeri Perlis)
180 dibaca
Berita Harian X