Sabtu, 5 March 2016 | 9:57pm

Pendakwah perlu berhikmah - JAKIM


Datuk Othman Mustapha

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan semua pendakwah menyampaikan ceramah dengan penuh hikmah, tanpa menggunakan kata-kata kesat dan membuat kenyataan yang mengelirukan.

   

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata ini perlu selepas JAKIM mendapati terdapat segelintir pendakwah yang menyampaikan ceramah dengan cara tidak sepatutnya seperti mengeluarkan kata-kata kesat, menghina serta mencaci pelbagai pihak termasuk penjawat awam, anggota keselamatan dan sebagainya.

 

Berikutan itu, Othman berkata semua pendakwah yang ingin menyampaikan kuliah atau ceramah dinasihatkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran atau tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama di negeri yang berkenaan.

   

"Pihak JAKIM akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama di negeri supaya peraturan menyampaikan ceramah dan mengajar agama sentiasa dipatuhi.

   

"Langkah ini bertujuan mengelakkan dari mereka yang tidak berkelayakan menyampaikan ceramah dan mengajar dengan cara tidak sepatutnya serta dapat mengelakkan dari perpecahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Othman berkata peranan pendakwah ialah mengajak masyarakat ke arah melakukan kebaikan (makruf) dan mengingatkan masyarakat supaya tidak melanggar syariat Allah SWT.

 

Katanya, tugas pendakwah sangat mulia kerana mereka melaksanakan tugas rasul dan nabi, malah al-Quran telah memberikan panduan supaya tugas dakwah dilakukan secara berhikmah dan bijaksana, seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

   

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

   

Beliau berkata, perintah Allah itu jelas menyarankan umat Islam supaya menyampaikan dakwa secara penuh hikmah dan bijaksana supaya orang yang didakwah dapat menerima seruan dengan penuh kefahaman dan kerelaan.

 

23 dibaca
Berita Harian X