Sabtu, 5 March 2016 | 12:42pm

Kurangkan import susu, negara perlukan 10,000 lembu tenusu


AHMAD Shabery melihat proses memasukkan susu segar ke dalam botol sempena lawatan ke Program Tenusu Syarikat Allied Dairy Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Negara memerlukan pertambahan 10,000 lembu tenusu bagi memenuhi keperluan pengeluaran susu tempatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pada masa ini Malaysia mempunyai antara 20,000 hingga 30,000 lembu tenusu yang mana jumlah itu masih tidak mencukupi menampung permintaan susu tempatan.

Pada masa ini, katanya, keperluan susu cair negara adalah 50 juta liter setahun yang mana hampir 20 juta liter susu cair diimport dari luar negara termasuk dari Australia dan New Zealand.

"Justeru bagi mencapai pertambahan susu sebanyak 20 juta liter menjelang 2020 bagi memenuhi keperluan 100 peratus kadar sara diri susu cair, 10,000 lembu tenusu diperlukan.

"Ini membabitkan peruntukan sejumlah RM200 juta termasuk bagi kemudahan infrastruktur sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan susu cair," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Program Tenusu Syarikat Allied Dairy Sdn Bhd di sini, hari ini.

Ahmad Shabery, berkata nilai eksport bagi susu dan produk tenusu pada 2013 adalah sebanyak RM957.35 juta dan nilai import bagi susu dan produk tenusu adalah RM3.27 bilion.

Katanya, bagi meningkatkan pengeluaran susu tempatan dan mengurangkan kebergantungan import maka di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian kerajaan memperkenalkan Program Projek Permulaan (EPP) 13-Kluster Tenusu pada 2011.

Berita Harian X