Sabtu, 5 March 2016 | 7:30am

Kelebihan artis jadi pendakwah


SHAM Kamikaze (kiri) dan Heliza Helmi (kanan) aktif berdakwah walaupun masih terbabit dalam bidang seni. - Fotohiasan

BERDAKWAH adalah antara semulia-mulia tugas yang diwariskan oleh anbia kepada generasi yang datang kemudian. Ia mulia kerana ia adalah usaha mengajak manusia kembali kepada Allah SWT dan kebenaran.

Berdakwah boleh dilaksanakan dalam pelbagai pendekatan asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

Al-Quran hanya memberikan garis umum mengenainya seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Usaha mulia berdakwah ini tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja seperti golongan asatizah, namun peluang berdakwah terbuka untuk semua berdasarkan kemampuan sedia ada. Jika tidak mampu berceramah dan berkuliah, dakwah boleh juga dilaksanakan dengan penampilan akhlak yang mulia serta terpuji.

Jika setiap kita berjiwa pendakwah dan melaksanakan tugas berdakwah, Allah SWT menjanjikan kita dengan diangkat-Nya umat ini sebagai umat terbaik seperti firman-Nya yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Populariti tarik minat pendengar

Alhamdulillah, hasil kerja pendakwah di pentas dakwah turut menarik mereka yang dahulunya termasuk golongan artis. Walaupun sudah 'kembali ke pangkal jalan' namun populariti mereka tetap ada kerana mereka masih ada peminat.

Peminat mereka tidak kurang bahkan bertambah dan tidak sedikit dalam kalangan mereka diberi peluang untuk berdakwah serta menyampaikan dakwah. Penampilan mereka sudah tentu berbeza berbanding status sebagai artis sebelum ini.

Ini tugas yang mulia, namun adalah lebih sempurna jika mereka ini tidak putus mendalami ilmu agama supaya tidak terlajak dan gopoh mengeluarkan fatwa serta menghukum orang lain secara tidak cermat. Mereka boleh mengadun populariti dimiliki dengan kemantapan ilmu agama untuk menghasilkan dakwah lebih berkesan serta hebat.

Dari sudut lain, ustaz mendapat sentuhan baharu dalam pendekatan dakwah mereka iaitu dengan menyelitkan beberapa bait lagu ketika berceramah. Kepelbagaian pendekatan itu bagus untuk menarik perhatian hadirin cuma jika ia berlebihan akan menghilangkan fokus utama usaha dakwah itu sendiri.

Didik agama secara serius

Jangan sampai berdalilkan seni kata lagu dalam mengulas sesuatu isu. Masyarakat hendaklah dididik untuk melihat isu agama secara serius. Masyarakat juga mesti dididik supaya melihat hirarki sumber maklumat dan hukum itu mengikut susunan keutamaan yang betul.

Ulaslah isu disandarkan dengan mengutamakan dalil al-Quran diikuti oleh hadis. Menyelitkan seni kata lagu itu sebagai sampingan sahaja dan tidak menjadi keutamaan. Menggunakan pendekatan melawak juga harus berpada-pada kerana Rasulullah SAW berpesan: "Jangan memperbanyakkan ketawa kerana ketawa itu akan mematikan hati." (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Sudahlah umat ini semakin tumpul dan kematu hatinya untuk bangkit berjuang menjadi umat yang mulia kerana terlalu lama serta banyak serangan yang dihadapi. Kita sangat mengharapkan majlis ilmu dan ceramah dapat menghidupkan semula hati umat ini yang masih 'tidur lena' menuju ke arah kematian.

Namun jika majlis ilmu juga menawarkan ubat pelali, maka bila lagi hati umat akan hidup semula? Hingga sampai tahap melahirkan dan menghasilkan pendakwah pun melalui jalan yang pernah dilalui oleh artis memasyhurkan diri.

Penulis ialah Timbalan Mufti Perak.

Berita Harian X