Jumaat, 4 March 2016 | 9:40pm

3 remaja terperangkap di air terjun


ANGGOTA bomba menuruni Air Terjun Ranchan untuk menyelamatkan tiga remaja yang terperangkap susulan arus deras, petang tadi.

SERIAN:  Keseronokan tiga remaja mandi di Air Terjun Ranchan di sini, hampir bertukar tragedi apabila mereka terperangkap di air di tengah kolam takungan air terjun berkenaan, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu disebabkan arus deras yang tiba-tiba datang dari kawasan hulu air terjun itu, dipercayai akibat hujan lebat awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad, berkata sepasukan enam anggota dari Balai Bomba Serian diketuai PBK II Rosman Sarin bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.54 petang.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati tiga remaja terbabit berpaut pada pagar besi di tengah kolam takungan air terjun berkenaan.

"Anggota kami melaksanakan penyelamatan menggunakan tali dan berjaya mengeluarkan semua remaja itu pada jam 6 petang. Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Beliau berkata, tiga remaja terbabit dikenali sebagai Awang Sukriy, 17 serta Yusri Yusuf dan Mohamad Raihan, kedua-duanya berusia 19 tahun.

15 dibaca
Berita Harian X