Jumaat, 4 March 2016 | 8:53am

Fatehah sekadar duduki tempat ke-13


FATEHAH Mustapa.

KUALA LUMPUR: Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa terlepas peluang merebut tiket ke Sukan Olimpik di Rio apabila sekadar menduduki tempat ke-13 dalam acara keirin Kejohanan Trek Dunia di London, awal pagi tadi.

Dalam perlumbaan di Lee Valley VeloPark, London itu, Fatehah menduduki tempat keenam dalam pusingan pertama dan berada di tempat kedua dalam pusingan 'repecharge'.

Hanya seorang pelumba daripada 'repecharge' akan meneruskan saingan ke separuh akhir.

Fatehah sebelum ini pernah ke final keirin pada Kejohanan Dunia di Apeldoorn, Belanda pada 2011, namun pelumba berumur 26 tahun itu mengakhiri perlumbaan di tempat kelima.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu masih mempunyai peluang terakhir untuk ke Rio dengan syarat bangkit dalam acara pecut, awal pagi Ahad.

Kejohanan Trek Dunia di London ini adalah acara terakhir menawarkan mata ranking untuk ke Sukan Olimpik Rio, Ogos depan.

Seorang lagi wakil negara, Azizulhasni Awang akan turun berlumba dalam acara pecut, esok bagi merebut tiket Olimpik dalam acara itu.

Azizul bagaimanapun sudah terlebih dahulu memperoleh tiket dalam acara keirin.

Azizul pernah memenangi dua pingat perak dalam acara pecut dan keirin masing-masing di kejohanan pada 2009 (Pruszkow) dan 2010 (Copenhagen) sementara satu gangsa keirin pada kejohanan tahun lalu di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis.

14 dibaca
Berita Harian X