Khamis, 3 March 2016 | 8:23pm
LOKASI kejadian Chork Chai A/L Eh Di, 18, calon SPM dari Tumpat, Kelantan lemas di air terjun Lata Tembakah, Besut. - Foto Mohamad Ishak

Remaja lemas selepas ambil keputusan SPM


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat, Chork Chai A/L Eh Di, 18, calon SPM dari Tumpat, Kelantan yang lemas ketika mandi bersama rakan di Lata Tembakah, Besut. - Foto Mohamad Ishak

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja yang baru memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, ditemui lemas selepas tergelincir di kawasan air terjun di Hutan Lipur Tembakah di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Chork Chai a/l Eh Di, 18, dari Tumpat, Kelantan, dikatakan dalam perjalanan menuju ke kereta di tempat parkir kawasan hutan lipur itu, sebelum tiba-tiba tergelincir ke dalam air sedalam kira-kira 4.5 meter dan lemas.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Polis Jertih, Mohd Saiful Fitri Md Ali, berkata mangsa yang berketurunan Siam dikatakan ke kawasan air terjun itu untuk mandi bersama empat rakan lain selepas mengambil keputusan SPM pagi tadi.

Beliau berkata, sebaik selesai mandi dan mahu pulang, mangsa tiba-tiba tergelincir ke dalam air ketika dalam perjalanan ke kereta.

Katanya pihaknya yang menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 5.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mayat mangsa sudah dinaikkan dengan bantuan orang awam jam 4.45 petang. Mangsa ditemui kira-kira lima meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

"Mayat kemudian dihantar oleh pihak polis ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut," katanya.

46 dibaca
Berita Harian X