Rabu, 22 Oktober 2014 | 11:49am
PEMAIN Bayern Munich, Xherdan Shaqiri (kanan) menjaringkan gol ketujuh pasukannya sambil dicabar pemain AS Roma, Kostas Manolas pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpik, Rome, awal pagi tadi. Bayern tundukkan Roma 7-1. - Foto Reuters

Liga Juara-Juara Eropah catat rekod 40 gol dalam satu malam


PENYOKONG Bayern Munich menyalakan suar di kawasan tempat duduk penonton semasa perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Roma di Stadium Olimpik di Rome, Itali.

LONDON: Bayern Munich, Chelsea dan Shakhtar Donetsk berpesta gol ketika Liga Juara-Juara Eropah memukau penonton dengan rekod 40 gol dalam satu malam membabitkan lapan perlawanan.


PENJAGA gol NK Maribor, Jasmin Handanovic (kanan) menyelamatkan cubaan penyerang Chelsea, Didier Drogba (kiri) pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah kumpulan G di Stamford Bridge, London, awal pagi tadi. Chelsea membelasah Maribor 6-0. - Foto EPA

Bayern yang mengatasi Roma 7-1, Chelsea yang membelasah Maribor 6-0 dan Shakhtar yang membenam Bate Borisov 7-0, menyumbang 20 gol pada malam yang sukar dilupai pemain pertahanan dan penjaga gol.

Shakhtar dari Ukraine menjadi pasukan pertama menjaringkan enam gol dalam separuh masa pertama perlawanan Liga Juara-Juara dan kemenangan itu menyamai rekod terbaik bagi pasukan pelawat.

Penyerang Shakhtar dari Brazil, Luiz Adriano menjadi pemain pertama yang menjaringkan empat gol sebelum rehat dan dengan catatan masa 17 minit, beliau memegang rekod penjaring empat gol paling pantas.

Beliau menambah satu gol lagi pada lewat permainan untuk menyertai Lionel Messi sebagai pemain yang menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara.

Messi menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-1 Barcelona ke atas Ajax untuk menyamai Cristiano Ronaldo dengan sejumlah 69 gol dalam saingan Liga Juara-Juara, hanya kurang dua gol berbanding pemegang rekod, Raul.

Kemenangan Chelsea ke atas Maribor adalah rekod jaringan terbesar pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dalam perlawanan lain yang menyaksikan banyak jaringan, Schalke menewaskan Sporting 4-3. - Reuters

Berita Harian X