Khamis, 3 March 2016 | 3:07pm

SPM 2015: Hasil ulang kaji sebelum Subuh

mohdfahmi@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Waktu sebelum solat Subuh paling dimanfaatkan pelajar cemerlang Sekolah Tun Fatimah (STF), Balqis Zainal untuk mengulangkaji pelajaran sehingga berjaya mendapat sembilan A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.

Dia yang juga ketua pengawas, percaya membaca dan mengulangkaji pelajaran bersama beberapa rakannya sebelum solat Subuh membolehkannya mengingat semua ilmu yang dipelajari semasa dalam kelas.

"Syukur setiap hari saya dapat membahagikan masa dengan baik selain banyak meluangkan masa berjumpa rakan untuk belajar berkumpulan," katanya yang kini melanjutkan pengajian A Level Kejuruteraan Awam di Kolej Yayasan UEM di Selangor di bawah tajaan Yayasan Khazanah.

"Saya harap dapat menamatkan pengajian melanjutkan pelajaran ke London bagi mencapai cita-cita menjadi jurutera selain menjadi contoh kepada adik yang bakal menduduki SPM tahun ini," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

STF terus menjadi antara sekolah terbaik di Johor dalam empat kategori peringkat negeri, iaitu sekolah berasrama penuh cemerlang, sekolah paling ramai pelajar cemerlang, peratus tertinggi cemerlang dan peratus tertinggi pelajar cemerlang semua A+.

Buat julung kali, sekolah berkenaan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjurkan majlis sambutan dan jamuan meraikan pelajar dan ibu bapa.

Yang turut hadir, Pengetua STF, Kamisah Aziz dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang juga Pengerusi PIBG STF, Saiful Yazan.

Berita Harian X