Khamis, 3 March 2016 | 3:05pm

SPM 2015: Pasangan kembar cemerlang

NURAIN Zuhairah dan kembarnya Nurain Zulaikha Zulkifli ( kanan ) dari SMK Bandar Baru Serting yang mendapat 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia ( SPM ) 2015 menunjukkan slip keputusan selepas majlis penyampaian di Dewan Bestari sekolah berkenan. - Foto Abnor Hamizam

BANDAR SERI JEMPOL: Pasangan kembar pelajar sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting (SMKBBS), Nurain Zulaikha Zulkifli dan Nurain Zuhairah yang belajar dalam kelas sama sejak Tahun Satu, muncul pelajar terbaik SPM 2015 sekolah itu.

Anak kedua dan ketiga daripada lima beradik itu mendapat 9A yang turut membantu sekolah mereka muncul sekolah harian terbaik di negeri ini.

Nurain Zulaikha berkata, mereka bersedia menghadapi SPM sejak Tingkatan Empat dengan mengulang kaji antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam setiap hari.

"Kami mendapat 8A ketika Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tidak sangka pula dapat keputusan sama ketika SPM," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian keputusan SPM di sekolah itu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli; Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil dan Pengetua SMKBBS, Norazam Nayan.

Nurain Zuhairah pula berkata, nasihat bapa, Zulkifli Mohammad, 48, yang bertugas sebagai Pembantu Kesihatan di Pejabat Kesihatan Jempol dan ibu, Normazlah Ibrahim, 43, pembantu tadbir di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, mendorong mereka belajar bersungguh-sungguh.

Katanya, ibu bapa banyak berkorban, termasuk menemani mereka ketika belajar pada waktu malam, sekali gus memberi semangat hingga berazam mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

"Saya senang belajar dengan kakak kerana boleh berbincang, tetapi tidak kisah berpisah apabila melanjutkan pelajaran selepas ini," katanya yang turut menjadikan kejayaan abang mereka, Mohd Zuhairi, 19, melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai pendorong.

Berita Harian X