Khamis, 3 March 2016 | 2:24pm

Pelajar cemerlang SPM diraikan bagai wira


AZIRAH (kiri) dipakaikan selendang oleh Saadiah yang memperoleh 9A dalam SPM 2015. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Gimik guru memakaikan selendang merah kepada seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015, memeriahkan majlis penyerahan slip keputusan berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelibang, di sini hari ini.

Penghargaan itu juga menyebabkan Azirah Md Saad, 18, yang memperoleh 9A sebak sejurus selesai disarungkan selendang oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kelibang, Saadiah Abd Samad, sambil diberi tepukan gemuruh rakan-rakannya.

Ketika ditemui, Azirah berkata, dia teruja apabila diraikan sebagai wira walaupun tidak pernah terbayangkan situasi seperti itu ketika menjawab soalan peperiksaan.

"Ini semua ketentuan Allah dan saya anggap ini rezeki selepas berusaha sedaya upaya melalui strategi yang diatur sejak awal tahun. Rahsianya, saya kerap membaca al-Quran dan mengulang kaji pelajaran," katanya yang ditemani bapa, Md saad Harun, 70, dan ibu, Jamilah Said, 58.

Sementara itu, Pengetua SMK Kelibang, Yusri Bappu, berkata acara memakai selendang merah itu menghargai pencapaian cemerlang pelajar terbabit yang turut mengharumkan nama sekolah.

Berita Harian X