Khamis, 3 March 2016 | 1:02pm

Tutup FB setahun demi SPM


PELAJAR cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Raja Uda (SMKTRU), Nur Saffia Mohd Nasir, 18, yang mendapat keputusan 8A, 1B (kanan) bersama ibunya, Suzana Siron, 46 bergambar selepas diumumkan sebagai pelajar cemerlang di sekolahnya, di Bayan Lepas, semalam. - foto Mohd Hilni Mahmud

BAYAN LEPAS: Menutup semua akaun laman sosial selama setahun membantu Nur Saffia Mohd Nasir, 18, mencatat keputusan cemerlang apabila memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pagi tadi.

Nur Saffia berkata, dia menutup laman sosial seperti Facebook, Instagram dan twitter bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

"Saya mula menutup akaun pada awal Februari tahun lalu dan hanya membaca akhbar atas talian bagi mendapatkan maklumat. Saya berasa bebas dan tidak terikat dengan laman sosial, dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran," katanya ketika ditemui pagi tadi.

Katanya, dia tidak akan berjaya tanpa sokongan guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bantuan diperlukan.

Ibunya Suzana Siron, 46, berkata Saffia menghabiskan separuh masanya bagi menghadiri kelas tambahan di sekolah dan pusat tuisyen.

"Jika ada masa terluang, dia akan ulang kaji dalam bilik dan kurang melakukan aktiviti luar rumah. Rutinnya setiap hari, akan tidur lebih awal dan bangun seawal jam 4 pagi untuk ulang kaji pelajaran kerana waktu itu sesuai untuk menghafal," katanya.

Berita Harian X