Rabu, 2 March 2016 | 9:15am

Festival layang-layang tarik pelancong asing


EXCO Pelancongan, Pantai, Sungai dan Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Seramai 120 peserta dari 36 negara menyertai Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2016 di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini.

Peserta yang mempamerkan layang-layang pelbagai bentuk dan dihiasi cahaya lampu sepanjang festival dua hari berakhir hari ini, termasuk dari Kanada, England, Australia, Austria, Brazil, Georgia, Ghana, Indonesia, Macau dan Nepal.

Selain itu, peserta dari Filipina, Poland, Russia, Singapura, Korea Selatan, Sweden, Taiwan, Thailand, Turki, Ukraine, Amerika Syarikat, Vietnam dan Wales, selain Malaysia.

EXCO Pelancongan, Pantai, Sungai dan Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad, berkata festival itu kali kedua dianjurkan selepas mendapat sambutan 25 negara pada program sama tahun lalu yang berlangsung hanya sehari.

Katanya, peserta yang dalam perjalanan selepas menyertai festival layang-layang di Pasir Gudang, Johor ke festival seterusnya di Satun, Thailand, menjadikan Melaka satu daripada lokasi persinggahan mereka.

"Ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini. Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri menghadiri festival ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian festival itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, malam tadi. Yang turut hadir, Presiden Majlis Layang-Layang Malaysia, Ab Rahim Nin.

Ghazale berkata, dalam usaha menambahbaik acara tahunan itu, kerajaan negeri bercadang memanjangkan tempoh festival supaya dapat mengadakan aktiviti sampingan seperti bengkel pembuatan layang-layang dan gerai jualan pada tahun depan.

Berita Harian X