Rabu, 2 March 2016 | 12:12am
ANDING mula memberi perhatian khusus melakukan senaman di gimnasium secara betul selepas tamat program AF2.
ANDING mula berusaha menurunkan berat badan sejak berusia 17 tahun.
DEMI memastikan matlamatnya memperoleh bentuk badan yang sasa dan tegap, Anding bersenam lima atau enam hari seminggu.
KEGIGIHAN bersenam nyata berbaloi apabila Anding kini memiliki bentuk badan tegap dan sado.
ANDING mula memberi perhatian khusus untuk melakukan senaman di gimnasium secara betul selepas tamat program AF2 pada 2004. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ANDING kini memanfatkan kemudahan gimnasium rakyat di UTC Pudu Sentral. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Teguran bapa buatkan Anding bersenam


DALAM kalangan peminatnya, ramai tidak menyedari peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Anding Indrawani, pernah mengalami masalah kegemukan apabila berat badannya meningkat hampir 98 kilogram (kg).

Situasi itu dialami Anding ketika belajar dalam Tingkatan Empat. Dia mengakui kegemukan berpunca sikapnya suka memasak dan makan tetapi kurang bersenam hinggalah ditegur bapanya supaya mengawal berat badan demi kesihatan diri.

Anak kelahiran Sarawak itu, berkata kegemukan terbabit berpunca daripada usahanya menambah berat badan kerana sebelum itu merasakan tubuhnya kurus melidi, ekoran berat kurang daripada 50 kg.

"Pemakanan yang tidak terkawal daripada hobi suka memasak dan makan apa saja, membuatkan berat badan saya naik mendadak hingga mencapai 98 kg.

"Melihat keadaan fizikal itu, bapa mula menegur hingga menyedarkan saya untuk melakukan sesuatu bagi mengubah keadaan," katanya ketika berkongsi pengalaman mengalami kegemukan bersama BH.

Anding berkata, ketika berada dalam Tingkatan Lima, dia mula berusaha menurunkan berat badan dengan tumpuan kepada senaman kardio.


BEKAS peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Anding Indrawani, berpuas hati dengan bentuk badannya.

"Hasilnya, ketika memasuki Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berat saya turun kepada 70kg. Ketika ini, badan saya sudah bertahan pada 64kg dengan metabolisme yang tinggi, saya yakin tinggi, jadi berat badan saya pada satu tahap susah nak naik lagi.

"Kini saya boleh makan apa saja dengan berat badan seakan-akan statik kerana sentiasa mencuri masa membuat senaman kardio setiap hari. Komitmen bersama teater MUD The Musical sejak 2014 hingga kini dengan membawakan watak Mamat 'memaksa' saya menukar gaya pemakanan kerana pementasan memerlukan tenaga yang banyak.

"Sejak dua tahun bersama teater itu, berat badan saya memang tak naik. Ada kawan pelakon yang turut sama berlakon dan memiliki badan bersaiz besar turut mengalami penurunan ketara kerana kesibukan dengan teater terbabit," katanya.

Anding berkata, dia mula memberi perhatian khusus dengan melakukan senaman di gimnasium secara betul selepas tamat program AF2 pada 2004.

"Apabila berduit sikit, saya mula bersenam di gimnasium. Bermula dengan mengguna kemudahan di kondominium yang didiami, saya mula menyertai pusat kesihatan dan kecergasan serta mendapatkan khidmat jurulatih.


SELAIN bersenam, Anding mengamalkan pengambilan makanan tambahan berasaskan protein dan vitamin saja.

ANDING ketika badan kurus.

"Selain tunjuk ajar jurulatih, saya turut menambah pengetahuan mengenai latihan kecergasan yang sesuai daripada internet, hingga kemaruk pergi gimnasium.

"Selain memanfaatkan kemudahan gimnasium yang ditaja sebuah hotel, kini saya hanya memanfaatkan kemudahan gimnasium rakyat di UTC Pudu Sentral. Sebelum bermula persiapan pementasan teater, saya curi masa untuk ke situ," katanya yang turut gemar aktiviti lasak seperti 'rock climbing', mendaki gunung dan kayak.

Namun, Anding menegaskan, tiada jalan pintas terhadap usaha untuk mendapat bentuk badan yang cantik serta tegap seperti dimilikinya melainkan kegigihan bersenam bersama semangat dan disiplin.


PERSEMBAHAN Anding menyertai konsert mingguan Akademi Fantasia musim kedua pada 2004.

"Selain mengambil makanan tambahan berasaskan protein dan vitamin, disiplin cukup penting. Dalam bersenam dan membina badan, kita juga perlu kreatif supaya tidak statik.

"Meskipun tiada mesin, kita boleh gantikan dengan senaman lain. Dalam seminggu, saya tetapkan lima atau enam hari untuk bersenam untuk memastikan tubuh badan mendapat rehat yang cukup," katanya.

Anding menyifatkan pembinaan otot pada badannya sudah cukup baik, berbanding paha dan betis menyebabkan dia mula memberi tumpuan kepada bahagian berkenaan untuk membentuk keseimbangan.

Beliau juga gemar melakukan senaman membabitkan penggunaan dumbel dan mesin pemberat serta tali senaman TRX.

186 dibaca
Berita Harian X