Selasa, 1 March 2016 | 8:20pm

Lelaki maut terjatuh dari bumbung hospital


KEADAAN lelaki yang jatuh daripada tingkat 10 di sebuah hospital swasta di Melaka Raya. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Seorang bekas juruteknik elektrik maut selepas dipercayai terjatuh dari bumbung sebuah hospital swasta di Melaka Rayadi sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan tertiarap di kaki lima sudut taman rekreasi aras dua bangunan hospital terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa tiba di hospital itu dengan ditemani seorang saudara lelaki untuk mendapatkan pemeriksaan doktor, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Kehilangan mangsa disedari saudaranya kira-kira jam 2 petang ketika menunggu giliran pemeriksaan di aras empat hospital berkenaan, sebelum mayatnya ditemui.

"Mangsa yang masih bujang dilaporkan tidak bekerja sejak Tahun Baharu Cina lalu," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, petang tadi.

Shaikh Abdul Adzis berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan sehingga petang ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, hospital berkenaan dalam satu kenyataan mengesahkan seorang lelaki terjatuh dari bangunan hospital itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sebaik menyedari kejadian, pihak hospital segera menghubungi pihak berkuasa dan memberikan kerjasama sepenuhnya," kata kenyataan itu.

Berita Harian X