Selasa, 1 March 2016 | 1:16pm

Rampas pistol, peluru dalam kotak rokok


MOHD Nashir (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sepucuk pistol separa automatik jenis Barreta yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki selepas didapati memiliki sepucuk pistol dan dua kotak rokok berisi peluru di Plaza Tol Jitra, pada Isnin.

Suspek berusia 27 dan 22 tahun yang menaiki kereta jenis Toyota Vios itu ditahan jam 10.05 malam ketika melalui plaza tol berkenaan.

Siasatan polis menemui sepucuk pistol separa automatik jenis Barreta di bawah tempat duduk pemandu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Senior Asisten Komisioner, Mohd Nashir Ya, berkata senjata berkenaan ditemui di dalam beg pinggang berwarna merah.

"Kita turut menemui kelopak dan peluru 0.9mm yang disimpan dalam dua kotak rokok dalam beg berkenaan.

"Suspek berusia 27 tahun yang memandu kenderaan juga didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, pagi ini.

Mohd Nashir, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960.

Berita Harian X