Selasa, 1 March 2016 | 7:49am

2 kereta terbakar, pemandu selamat


ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kereta MyVi di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu malam tadi.

KUCHING: Dua pemandu selamat dalam kebakaran dua kereta di lokasi berasingan, malam tadi.

Di Sibu, sebuah PERODUA Myvi dipandu seorang lelaki terbakar di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu, kira-kira jam 9.30 malam.

Jurucakap pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.57 malam sebelum sepasukan enam anggota dihantar ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, kereta terbabit didapati sudah terbakar sepenuhnya manakala pemandunya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Di Miri, seorang lelaki sempat menyelamatkan diri apabila Mercedes Benz yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Bakam pada jam 11.05 malam tadi.

Bomba yang menerima panggilan pada jam 11.07 malam menghantar 10 anggota ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi pada jam 11.24 malam, kereta terbabit didapati sudah terbakar kira-kira 75 peratus dan bomba berjaya memadam kebakaran daripada memusnahkan keseluruhan kereta berkenaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Berita Harian X