Selasa, 1 March 2016 | 12:35am
ZARA kini mula berjinak-jinak dengan perniagaan kecantikan dan penjagaan kulit menggunakan jenama Miss Zara Beauty. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
MENJANGKAU usia 30 tahun, Zara kini mengakui molek untuk dirinya bergelar isteri. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Zara Zya teringin naik pelamin


SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, deretan artis popular tempatan mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang masing-masing.

Mereka termasuklah Nabila Huda, Marsha Milan Londoh, Akim dan Stacy, Nad Zainal, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, Anzalna Nasir, Youk Bunkface serta Yatt Hamzah.

Keadaan itu tentu saja sedikit sebanyak memberikan tempias dan tekanan kepada anak seni yang masih hidup solo.

Tidak ketinggalan berasakan sedikit tekanan apabila dijolok dengan persoalan mengenai perkahwinan ialah Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, Zara Zya.

Pada usia 30 tahun kini, Zara sendiri mengakui angka itu dilihat sangat molek untuk dirinya bergelar isteri.


ARTIS Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, Zara Zya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Apatah lagi ketika dirinya kini dilihat tampil lebih feminin dan bertambah cantik, justeru ada yang mengandaikan semua itu sebagai persediaan pelakon yang dilahirkan dengan nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini untuk melangkah ke alam rumah tangga.


Malah, ketika temubual ini dijalankan, pelakon yang meledak menerusi drama Love You Mr Arrogant itu berseloroh mengenai kecantikannya yang ada kaitan dengan soal jodoh.

"Dulu, ketika umur belasan tahun, memang saya tidak pandai hendak melawa. Sekarang, umur awal 30-an, nur (cahaya) kecantikan itu terpancar. Sekarang, nak cari jodoh kenalah elok sikit," ungkapnya sambil ketawa.

Jadi, apakah ada kebenaran di sebalik gurauan si Zara itu?

"Tak adalah, saya belum menuju ke arah itu. Belum lagi tetapi apabila melihat satu demi satu rakan berkahwin, dalam hati pernah terdetik kenapa mereka semua kahwin dulu? Jadi, secara tidak langsung apabila teman kita berkahwin, terutama di kalangan artis, saya tak mampu menidakkan ia membuka ruang untuk orang di luar sana 'menyerang' kita dengan pertanyaan mengenai jodoh.


ZARA bergambar bersama peminat ketika sama-sama menyaksikan siaran langsung Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Saya yakin semua wanita di dunia ini mahu berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Namun apakan daya, calon belum ada lagi. Sedikit sebanyak, memang persoalan itu memberikan tekanan tersendiri. Iyalah, usia kita bukan semakin menurun tetapi saya cuba abaikan soalan itu dan tidak terlalu memikirkannya. Nak tak nak, saya perlu lalui situasi ditanya soalan sebegitu.

"Namun sejujurnya, perkahwinan belum ada lagi dalam fikiran. Begitupun, kalau ada jodoh, saya tidak menolaknya. Bunyinya memang klise. Bagaimanapun saya tidak mampu menolak aturan hidup yang ditetapkan Tuhan. Saat ini, saya mahu terus berada di trek yang benar dengan memberi perhatian kepada kerjaya," katanya.

Zara yang kini popular dengan drama Cinta Hati Abah, berkata pada usia sekarang, beliau tidak boleh mengambil mudah soal kerja.

"Ketika nama saya hendak naik dulu pun bukannya mudah, ia ambil masa yang lama," katanya yang bertekad untuk terus memperbaiki kelemahan diri dalam lakonan dan menganggap setiap hari sebagai proses pembelajaran terbaik buatnya.

gn4id:12260274

Selain mahu mengukuhkan nama di persada seni, Zara berazam untuk aktif berniaga, seperti dilakukan kebanyakan artis sekarang.

Bermula dengan membantu ibunya menjual kuih raya, sekarang Zara mula berjinak-jinak dengan perniagaan kecantikan dan penjagaan kulit di bawah jenama Miss Zara Beauty.

Seperti kebanyakan artis yang menceburi perniagaan dan menjana pendapatan sampingan dengan menggunakan pengaruh di laman sosial, contohnya, Zara tidak ketinggalan mahu memanfaatkan kelebihan yang dimilikinya itu. Beliau nyata realistik dalam membuat persediaan awal bagi masa depan lebih terjamin.

"Saya tidak lihat menceburi dunia perniagaan seperti mengikut aliran semasa semata-mata. Kalau betul gayanya, kita memang boleh menjana untung dan mencari duit lebih, selain berlakon.

"Insya-Allah selepas ini saya akan memberikan pula perhatian penuh kepada jualan tudung, yang pernah dikeluarkan sebelum ini. Saya akan melakukan penjenamaan semula kepada rekaan dan logo, contohnya.

"Dulu perniagaan tudung saya agak perlahan kerana saya terlalu sibuk untuk menguruskannya. Jadi, ini masanya untuk saya memberikan perhatian lebih khusus kepada perniagaan terbabit. Insya-Allah, ia akan dirasmikan pada bulan depan," katanya.

Mengenai pemilihan tudung sebagai cabang bisnes, sedangkan dirinya sendiri belum berhijab, pelakon drama Tuan Anas Mikael dan Calonnya Adalah, ini mempunyai pandangannya tersendiri.


ZARA yang semakin kelihatan cantik, sering tampil dengan gaya yang lebih feminin. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kata Zara, berikutan dirinya agak kerap menerima tawaran watak bertudung, beliau mula terfikir untuk mempromosikan jenama sendiri.

"Setiap kali berlakon watak bertudung, saya akan mempromosikan jenama tudung tertentu. Jadi kenapa tidak saya mempromosikan tudung sendiri pula selepas ini, kalau ada watak seumpama itu? Insya-Allah selepas tudung, saya mungkin mahu keluarkan baju dan kasut pula," katanya yang ketika ini sedang melunaskan baki penggambaran drama Duda Terlajak Laris, untuk siaran TV3.

25 dibaca
Berita Harian X