Isnin, 29 Februari 2016 | 6:27pm

Klopp akui Liverpool tiada tuah


PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto Reuters

LONDON: Jurgen Klopp percaya Liverpool tidak bernasib baik tewas kepada Manchester City pada pentas final Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti, awal pagi tadi.

Jaringan penyamaan Philippe Coutinho mengheret aksi di Stadium Wembley itu ke masa tambahan selepas Fernandinho terlebih dulu meletakkan The Citizens di depan.

Dan selepas kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan, penjaga gol City Willy Caballero yang sebelum ini dikecam teruk tampil menafikan tiga sepakan penalti untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan.

Penyerang gantian Divock Origi gagal menyudahkan peluang terbaik Liverpool pada masa tambahan, manakala Raheem Sterling dan Sergio Aguero melepaskan deretan peluang buat City, tetapi Klopp merasakan pasukannya sudah memperagakan aksi terbaik untuk cuba memenangi trofi terbabit.

"Kami sangat kecewa tetapi saya tetap gembira dengan beberapa perkara yang dilihat pada perlawanan tadi," kata Klopp kepada Sky Sports. "Ia adalah aksi seimbang pada babak pertama dengan kami saling bertukar penguasaan permainan.

"Pada babak kedua kami melepaskan gol, tetapi kemudian kami mencuba segala-galanya dan menjaringkan gol penyamaan.

"Mereka melancarkan beberapa serangan balas dan kami bermain terlalu terbuka dalam satu atau dua keadaan, tetapi kembali menemui rentak permainan.

"Kami mempunyai peluang keemasan dengan Divock dan beberapa situasi lain lagi. Kami kurang bernasib baik, tetapi itulah antara hakikat yang harus kami telan kerana tewas menerusi penalti."

Simon Mignolet melakukan tiga aksi menyelamatkan yang cemerlang, termasuk satu daripada Aguero, tetapi membenarkan sepakan leret mudah Fernandinho melepasi bawah badannya, meninggalkan Klopp terpaksa mengakui jaringan itu sepatutnya tidak berlaku.

"Kami sepatutnya boleh memenangi pertarungan ini, kerana kami tidak patutnya melepaskan gol. Ia bukannya cara bertahan yang sempurna dan dari sudut itu ia sepatutnya tidak gol."

Berita Harian X