Isnin, 29 Februari 2016 | 12:01am
AHMED Saifuddin menunjukkan modul produk ABaTa untuk kemudahan pendidikan al-Quran. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
BENGKEL tajwid di sekolah anjuran ABaTa.

ABaTa majukan kerjaya guru al-Quran


SERING kali kita dengar keluhan orang ramai yang sukar mencari guru mengajar mengaji.

Ia kerana rata-rata aktiviti mempelajari al-Quran di negara ini, hanya dilakukan secara beramai-ramai di sekolah, masjid atau secara sukarela oleh guru untuk mendapat pendapatan sampingan.

Tanpa dilakukan secara berstruktur, guru ajar mengaji hanya menerima upah cukup makan menyebabkan mereka tidak berminat melakukannya sebagai pekerjaan tetap dan memperlahankan pengembangan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Lebih menyedihkan apabila masyarakat lebih rela berhabis ratusan ringgit untuk kelas tuisyen tetapi berkira dalam mengupah guru mengaji sedangkan negara mempunyai ramai 'ustaz muda lulusan sekolah agama dan pondok' yang memiliki ilmu mengajar serta mendalami al-Quran.

Menyedari barah yang semakin menular dalam masyarakat itu, seorang pengajar dengan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengorbankan kerjayanya sebagai jurutera syarikat automotif terkenal negara untuk membangunkan sistem pengajian yang lebih berstruktur.


TAKLIMAT untuk bakal tenaga pengajar ABaTa selepas pendaftaran pelajar dalam sesi taklimat kaedah pengajian.

Maka lahirlah kaedah pengajian ABaTa, dibangunkan persis meniru model francais yang menyediakan platform kepada tenaga pengajar al-Quran untuk menstruktur tanggung jawab mereka berdasarkan model pusat pengajian.

"Saya cuba jadikan sistem ini sebagai platform yang dapat mencukupkan pendapatan pengajar al-Quran.

"Maka tenaga pengajar berkemahiran dan memiliki latar belakang agama ini dapat menggunakan sistem ini sebagai panduan pengajian standard bagi melahirkan tenaga pengajar profesional dengan pendapatan tetap," kata Pengasas Kaedah ABaTa, Ahmad Saipuddin Saat.

Ahmad Saipuddin, 45, berkata ilham membangunkan kaedah pengajian itu timbul pada 2007 selepas berkhidmat sebagai pengajar al-Quran kelas dewasa dan memahami masalah serta kelemahan golongan itu.

Katanya, bagaikan diberikan kekuatan ketika itu, beliau terpaksa bekerja keras sebagai jurutera pada waktu siang, malam sebagai pengajar al-Quran sebelum pulang ke rumah menyambung pula menaip buku ABaTa.


PENGASAS ABaTa, Ahmed Saifuddin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Selepas naskhah ABaTa ini siap, saya cuba dapatkan kelulusan agensi kerajaan berkaitan agama Islam di negara ini, mereka menerima dan mengakui ia memang bermanfaat kepada masyarakat.

"Mulanya susah nak mendapatkan kepercayaan mereka kerana buku ini bergantung kepada ilmu mengajar saya, perumpamaan macam seorang ustaz diminta melukis pelan arkitek dan menghantarnya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diluluskan.

"Saya dibawa ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kemudiannya Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hinggalah kepada Mufti. Semuanya dipermudahkan dan akhirnya kepada Kementerian Dalam Negeri untuk kelulusan penerbitan," katanya ketika ditemui BH di Pusat Pengajian ABaTa Puchong, baru-baru ini.

Ahmad Saipuddin berkata, sebagai permulaan beliau memanfaatkan platform dalam talian bagi mengedarkan buku ABaTa dan menggunakan sendiri kaedah itu dalam kelas untuk melihat keberkesanannya.

Pada 2014, katanya, selepas beberapa sesi kajian akhirnya model pusat pengajian ABaTa berjaya dilengkapkan berserta struktur yuran yang rendah untuk orang ramai menyertainya, disesuaikan pula dengan gaya hidup harian pelanggan.


MODUL produk ABaTa. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SESI pengajaran ABaTa dilakukan secara individu pada setiap sesi.

"Walaupun yuran yang dikenakan rendah, model pusat pengajian ini distruktur secara strategik untuk membolehkan tenaga pengajar berdikari membiayai keperluan dan kos operasi pengajaran bulanan mereka.

"Bahkan, tenaga pengajar ABaTa digalakkan memperluaskan operasi mereka menggunakan model yang sama dengan melatih guru baharu dan kami sentiasa memantau kualiti tenaga pengajar menerusi beberapa siri peperiksaan.

"Impian saya ingin cari guru ABaTa seluruh negara," katanya yang kini memiliki lima pusat ABaTa seluruh Lembah Klang dengan hampir 5,000 pelajar sejak ditubuhkan.

Ketika ditemui, operasi pengajian secara bimbingan peribadi sedang dikendalikan Mohd Shafarul Nizam Mohamad Idris yang turut menjadi antara tenaga pengajar perintis dan usahawan ABaTa berjaya.

Sementara itu, Mohd Shafarul Nizam, berkata sistem itu membantu beliau menjadikan profesion guru mengaji sebagai kerjaya dan lebih fokus untuk mendidik masyarakat khususnya golongan dewasa membaca Al-Quran dengan baik.


GAYA ustaz 'Rock' pengajar ABaTa, Mohd Shafarul, untuk mendekati golongan muda supaya turut mendalami al-Quran.

Bahkan, katanya, sumbangan yuran pengajian bulanan yang rendah tetapi secara tetap juga membantu guru mengaji merancang dan membuka lebih banyak rangkaian pusat pengajian untuk meluaskan manfaatnya.

"Apabila masyarakat dapat menyumbang secara tetap setiap bulan, maka aktiviti dakwah dapat dilaksanakan dengan konsisten dan berkesan kerana tenaga pengajar boleh fokus dan tidak perlu membuat dua kerja pada satu masa.

"Kami memperoleh pendapatan seperti mana guru sekolah, ini penting untuk menarik lebih ramai orang muda menjadi tenaga pengajar khususnya mereka yang terdiri daripada latar belakang pengajian Al-Quran.

"Bahkan kami cuba tonjolkan gaya pembelajaran yang selesa dan mesra untuk golongan muda mendekati al-Quran serta membuktikan guru mengaji juga boleh menjadi insan yang berjaya di dunia ini," katanya.

Berita Harian X