Ahad, 28 Februari 2016 | 4:12pm

FAM hantar surat tunjuk sebab kepada FAS

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung tindakan segelintir penyokong pasukan itu membakar suar ketika aksi Piala FA menentang AirAsia FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 19 Februari lalu.

Menurut surat Jawatankuasa Tatatertib FAM bertarikh 24 Februari 2016 kepada FAS yang disiarkan menerusi Facebook rasmi persatuan negeri itu, komisioner perlawanan memaklumkan tujuh suar dinyalakan penyokong Selangor yang berpakaian jalur merah kuning pada minit ke-90 di kawasan tempat duduk tidak berbumbung di sebelah kanan Astaka Utama.

Tindakan yang dilakukan segelintir penyokong terbabit jelas melanggar peruntukan Artikel 70 yang termaktub dalam Kod Disiplin FAM 2015 berhubung tanggungjawab penyokong pasukan pelawat ke atas tindakan tidak wajar termasuk melepaskan bahan bakar dan juga melontar mercun.

Tindakan itu juga menyentuh Artikel 42 membabitkan pelanggaran berulang yang membolehkan jawatankuasa terbabit meningkatkan hukuman jika kesalahan yang sama dilakukan berulang kali oleh mana-mana persatuan bola sepak.

Selain itu, jawatankuasa itu turut menyentuh peruntukan Artikel 2 membabitkan Undang-Undang Substantif serta Artikel 79 membabitkan bidang kuasa am yang memperuntukkan bahawa badan terbabit diberikan kuasa untuk menghukum apa juga pelanggaran undang-undang FAM yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mana-mana badan yang lain.

Berita Harian X