Selasa, 21 Oktober 2014 | 4:03pm
Bersama Yatt Hamzah dan makciknya, Norseha.

Bienda berharap dapat anak lelaki


Bienda sedang sarat mengandung tetapi terus aktif berniaga.

KUALA LUMPUR: Ketika ini Bienda sedang sarat mengandungkan anak keduanya dan beliau dijangka bersalin pada 2 November depan. Tapi apa saja boleh terjadi dan Bienda kini sedang berjaga-jaga menunggu kelahiran anak keduanya itu.

Sewaktu dihubungi, Bienda memberitahu usia kandungannya sudah sembilan bulan dan beliau berhasrat untuk bersalin secara normal. Bienda turut mendambakan untuk melahirkan anak lelaki supaya lengkap sepasang nanti. Ikuti cerita Bienda kepada BH Online.


Baru saja menyambut ulang tahun keempat perkahwinannya bersama Boy pada 10 Oktober lalu. Turut kelihatan anak sulung mereka Lavienda.

"Sewaktu melahirkan anak sulung (Lavienda Namiraz Kamarul Zariman), saya memilih untuk bersalin secara pembedahan. Jadi kali ini saya berhasrat untuk melahirkan anak secara normal pula. Orang cakap kalau lahir normal, senang nak jaga anak.

"Jantina anak pun saya tak tahu lagi. Bakal anak dalam perut ini sembunyikan diri. Tak tunjuk jantinanya. Doktor kata biasanya kalau jenis sembunyi jantinanya kebarangkalian ialah mendapat anak perempuan.

"Saya berharap dapat anak lelaki. Tapi tak kisahlah apa saja jantina anak nanti. Janji kesihatannya baik dan cukup sifat," katanya.

Tambah Bienda lagi, ketika mengandungkan anak kedua, beliau cukup alah dengan bau.

"Masa mengandungkan anak pertama, saya alah sampai susah nak makan hingga terpaksa guna tiub. Sekarang saya alah bau pula. Tak boleh bau busuk termasuk benda bergoreng.

"Bayangkan sampai suami sendiri saya suruh mandi guna syampu mandi pilihan saya kerana nak dia bau macam saya. Tapi selepas fasa tujuh bulan, alah saya sudah mula berkurangan," katanya.

Bienda sekarang ini juga aktif menjalankan perniagaan tudung di bawah label BL By BiendaLavienda. Perniagaan itu disertainya sejak enam tahun lalu. Bermula dengan berniaga secara talian, Bienda baru-baru ini juga sudah mempunyai tapak berniaga di Busana, MedanMara.


Bienda bersama Noorkhiriah, Norseha dan Abby Nadzri yang turut menggayakan tudung jenama beliau iaitu BL by BiendaLavienda.

"Hanya sejak dua tahun lalu baru saya memulakan penjenamaan sendiri di bawah jenama itu. Tudung saya jenis tudung segera...senang digayakan. Kain diimport dari Korea dan Indonesia tetapi dijahit di Kuala Lumpur.

"Insya-Allah tahun depan, saya nak melebarkan sayap dengan berniaga pakaian kasual yang sesuai untuk Muslimah pula. Selain berniaga, saya masih menyanyi. Kalau jadi saya akan muncul dengan single terbaru bercorak ketuhanan untuk orang Palestin.

"Berlakon pun jarang-jarang saya terima. Kalau ada pun, saya lebih suka penggambaran ambil masa tak lama atau sekitar KL. Selain itu saya juga lebih tumpu kepada kerja pengacaraan. Sudah ada beberapa program yang saya hoskan termasuk di RTM," katanya.

Bienda berkata, beliau turut menyertai kumpulan artis yang berhijrah di bawah nama Bestlah. Antara artis yang turut serta seperti Yatt Hamzah, Azza, Zul Yahya, Norseha, Noorkhiriah, Ekin Mawi.

Berita Harian X