Ahad, 28 Februari 2016 | 12:03pm

RM300j pinjaman untuk rumah mampu milik di Johor


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dijangka mula dilaksanakan April ini bagi membantu orang ramai mendapatkan pinjaman perumahan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata setakat ini sebanyak RM300 juta disediakan menerusi skim itu yang bertujuan membantu lebih ramai golongan sasar memperoleh pinjaman untuk memiliki RMMJ.

Katanya, perancangan pelaksanaan skim itu sudah lama dirangka tetapi pihaknya perlu menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan termasuk memenuhi syarat Kementerian Kewangan.

"Sebelum ini, yang melewatkan ia dilaksanakan kerana kita menunggu keputusan Kementerian Kewangan untuk melihat syarat kita. Jadi apabila kita sudah memenuhinya (syarat), baru boleh dilaksanakan dijangka April ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Perbadanan Islam Stulang Baru, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latiff Bandi; Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengarah Urusan Perbadanan Islam Johor (PIJ) Holdings Sdn Bhd, Rozan Mohd Sa'at.

Mohamed Khaled berkata, skim itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah kesukaran mendapat pinjaman perumahan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Berita Harian X