Ahad, 28 Februari 2016 | 9:41am

BN Sarawak yakin rampas empat kerusi majoriti Cina

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) yakin merampas kembali empat kerusi majoriti Cina daripada pembangkang. Dalam pilihan raya negeri 2011, pembangkang menguasai 13 kerusi bandar.

Kekalahan BN di kerusi bandar dianggap sebagai tsunami Cina, sekali gus membayangkan pola pengundian yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 apabila pengundi Cina di Semenanjung menolak BN.

MCA, parti utama mewakili masyarakat Cina dalam BN, hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga kemudiannya dikenali sebagai 7-Eleven.

Ketua Menteri membayangkan optimisme untuk merampas kembali kerusi majoriti Cina. Pengundi dan pemerhati politik Sarawak tertanya-tanya kerusi yang berpotensi dimenangi BN. Ketika ditanya media di Kuching beberapa hari lalu, Tan Sri Adenan Satem berkata: "Kami optimis. Kami sudah lakukan pengiraan kami dan kami agak yakin." Keyakinan Ketua Menteri bukan tidak berasas meskipun ramai juga yang masih ragu, adakah mungkin pengundi Cina akan berubah angin?

Dalam pilihan raya negeri ke-11, DAP menang 12 kerusi majoriti Cina, dan satu lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kerusi dikuasai DAP ialah Pending, Padungan, Kota Sentosa, Batu Kawah, Dudong, Pelawan, Bukit Assek, Repok, Maradong, Kidurong, Piasau dan Pujut. Dalam pilihan raya sengit itu, majoriti DAP di kawasan terbabit agak besar, daripada 317 hingga 8,381 undi. DAP memperoleh undi majoriti terendah di Dudong, dan tertinggi di Padungan.

Undi pembangkang tinggi

Di Dudong, calon DAP, Yap Hoi Liong memperoleh undi majoriti 317 sahaja apabila beliau meraih 9,649 undi, menewaskan calon BN, Tiong Thai King, yang mendapat 9,332 undi. Undi tertinggi kerusi majoriti Cina adalah di kerusi Batu Lintang, sebanyak 8,381, dimenangi PKR. Kerusi lain DAP menang dengan majoriti kecil ialah Batu Kawa, sebanyak 543 undi. Banyak kawasan bandar sukar ditembusi BN, lebih-lebih lagi undi kepada pembangkang adalah tinggi.

Keyakinan Adenan mungkin berasaskan langkah yang diambilnya setakat ini yang pro-Cina. Adenan melaksanakan sekitar 50 dasar seperti mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC), beri peruntukan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina, dan tidak menganggap masyarakat Cina sebagai pendatang. Beberapa kali beliau berharap agar masyarakat Cina kembali ke pangkuan BN. Sesuai dengan dasar keterangkumannya, Adenan tidak mahu komuniti Cina berada di luar lingkungan. Masyarakat Cina perlu berada dalam kerajaan bagi membolehkan mereka memberi sumbangan lebih bermakna.

Disebabkan kekalahan teruk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada 2011, mereka kehilangan banyak jawatan kerajaan, termasuk jawatan Timbalan Ketua Menteri. Adakah masyarakat Cina mahu terus berada di pinggiran? Sampai bilakah mereka akan terus berdampingan dengan DAP? Ya, apa lagi yang masyarakat Cina mahu daripada Adenan? Hakikatnya, tidaklah terlalu mudah untuk BN merampas kembali kerusi majoriti Cina daripada DAP.

Kubu kuat DAP

Berdasarkan undi majoriti dalam pilihan raya 2011, BN kemungkinan hanya berpeluang merampas balik kerusi terbabit di Batu Kawa, Dudong dan Bukit Assek dan mungkin Repok. Di tiga kerusi terbabit, DAP menang dengan majoriti kurang daripada 2,000. Tetapi undi majoriti DAP di Repok ialah 2,679. Di Batu Kawa, calon DAP Christina Chiew memperoleh 7,439 undi, menewaskan calon BN Tan Joo Phoi yang mendapat 6,896 undi. Tetapi tidak mudah untuk BN memenangi Bukit Assek kerana kawasan itu merupakan kubu kuat DAP.

Sebaliknya, kerusi Senadin yang dimenangi BN adalah dalam bahaya apabila menang hanya dengan majoriti 58 undi. Keadaan ini lebih buruk lagi jika berlaku pertembungan sesama sendiri antara SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP). Dalam pilihan raya itu, BN diasak pembangkang dari pelbagai penjuru. Antara isu hangat ialah persepsi SUPP tiada tulang belakang dan kitab Injil dalam bahasa Malaysia. Isu-isu lain berkaitan kepemimpinan panjang Ketua Menteri Tun Taib Mahmud yang disifatkan tidak mengamalkan tadbir urus yang baik, pendidikan bahasa Cina, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), serta bagaimana kontrak diberi kepada ahli perniagaan. Taib menjadi sasaran mereka, dan kempen menyerang Taib begitu berkesan.

Masih banyak teka-teki berkaitan sikap dan pola pengundian pengundi Cina. Kerajaan boleh menghulurkan pelbagai bantuan dan melaksanakan pelbagai dasar yang mesra Cina, tetapi yang penting, bagaimana reaksi sebenar mereka? Tidak diragui, sentuhan kepemimpinan Adenan memberi kesan, namun seyugia diingat, masyarakat Cina mahu perubahan yang lebih substantif, dari segi dasar berkaitan ekonomi, peluang dalam perkhidmatan awam, pendidikan, dan sebagainya.

Justeru, perlu proses semak dan imbang dalam DUN. Bagi mereka, DAP berjaya memainkan peranan itu. Bagi sebahagian mereka, peranan itu perlu terus dimainkan oleh DAP agar tadbir urus yang baik dapat dilaksanakan dalam kerajaan.

Berita Harian X