Ahad, 28 Februari 2016 | 12:08am
BERJALAN dalam hutan, menyeberangi sungai demi menikmati kesejukan air terjun.
SUNGAI Chilling terletak di laluan perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser.
LEBIH menyeronokkan lagi anda boleh bermandi-manda sambil 'bermain' dengan ikan kelah yang banyak terdapat di Sungai Chiling.
DERUAN air terjun Sungai Chiling yang menyegarkan.

Syok berlibur di Sungai Chiling


SUNGAI Chiling diuruskan Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8 pagi hingga 6 petang.

TERLETAK kira-kira 13 kilometer dari Kuala Kubu Bharu atau sekitar 70 km dari Kuala Lumpur, Sungai Chiling menjadi destinasi rekreasi popular bukan sahaja dari pengunjung tempatan tetapi juga luar negara.

Tidak hairanlah ia sentiasa padat dan tidak pernah putus daripada kunjungan orang ramai pada hujung minggu atau cuti umum.

Sungai Chiling diuruskan Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8 pagi hingga 6 petang.

Bagi yang pertama kali hendak merasai pengalaman berkelah atau menyeberang sungai, Sungai Chilling terletak di laluan perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Sepanjang perjalanan, akan terlihat Empangan Sungai Selangor dan penempatan Orang Asli di Kampung Pertak.

Anda akan menemui pintu gerbang santuari ikan Sungai Chiling di sebelah kanan (dari arah Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser).

Jika tiba awal, boleh letak kereta berhampiran pintu masuk, sebaliknya, kalau kurang bernasib baik anda terpaksa letak kereta sejauh hampir satu kilometer.

Dari pintu masuk di jalan utama, berjalan kira-kira 800 meter di bawah rimbunan pokok hutan ini dan ketika ini anda sudah mendengar deruan air sungai yang mengalir deras.


PETA Santuari Ikan Sungai Chiling.

Laluan tidak sukar

Selepas membayar yuran kemasukan RM1 seorang, anda boleh buat pilihan mahu meneruskan trekking menuju ke Air Terjun Sungai Chiling atau berkelah di sekitar pejabat pengurusan Jabatan Perikanan.

Sekiranya hendak ke air terjun Sungai Chiling, anda diwajibkan mencatatkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon.

Rekod kemasukan ini penting untuk memudahkan pihak berkuasa membuat tindakan perlu sekiranya ada yang terkandas.

Laluan berjalan (walking trek) dari pejabat pengurusan menuju ke air terjun Sungai Chiling dalam sekitar tiga kilometer. Tak jauh, sekitar satu atau dua jam berjalan.

Trek tidaklah sukar kerana lebar dan landai sahaja, tetapi berhati-hati kerana ada banyak lopak air membuatkan sesetengah laluannya agak licin.

Sedikit mencabar bagi sesetengah orang, terutama kepada wanita dan kanak-kanak adalah terpaksa melangkah batang balak sebesar dua pemeluk kerana merentangi laluan.

Ia kelihatan mudah tetapi boleh menjadi sukar kalau batang balak ini basah selepas hujan kerana agak licin untuk di langkah.


BATANG balak sebesar tiga pemeluk yang merintangi laluan.

Enam kali menyeberang sungai

Tapi cabaran yang menyeronokkan adalah enam kali menyeberang sungai pada kedalaman paras peha hingga pinggang orang dewasa. Aliran airnya agak deras.

Tidak hairanlah pihak pengurusan hutan tidak akan membenarkan orang ramai berkunjung ke air terjun Sungai Chiling ketika hujan atau baru lepas hujan kerana dikhuatiri berlaku limpahan air deras kerana 'kepala air' di hulu sungai ini. Malahan pernah berlaku pengunjung terkandas selama beberapa jam kerana tidak dapat melintasi sungai kerana 'kepala air'.

Batu-batu pejal pelbagai saiz pada dasar dan permukaan sungai ini dipenuhi pasir atau lumut membuat setiap orang perlu berhati-hati apabila memijaknya.

Kakitangan jabatan perhutanan di pondok pengurusan sudah berpesan kepada setiap pengunjung supaya jangan sesekali hendak tunjuk pandai dengan melompat atau memijak batu ketika menyeberang sungai semata-mata tidak mahu membasahkan pakaian atau kasut.

Kalau memang berniat hendak ke air terjun Sungai Chiling, anda memang kena bersedia untuk basah. Paling senang, apabila sudah enam kali menyeberang sungai, anda memang bersedia untuk mandi lebih awal sebelum sampai di air terjun.


BERENDAM sambil bermain ikan atau memberi makan ikan kelah.

Berwaspada di sebalik keseronokan

Selepas hampir dua jam berjalan dan meredah sungai, barulah tiba di air terjun Sungai Chiling yang mempersonakan. Kabus serta angin daripada hempasan air terjun menjadikan suasana persekitaran terasa sangat dingin. Limpahan air terjun mengalir dari celah-celah batu granit yang padu menghasilkan deruan bunyi kuat.

Walaupun tidak ada papan tanda amaran, tetapi setiap pengunjung sudah diberi peringatan supaya tidak mandi terlalu hampir dengan dasar air terjun ini kerana ia dikatakan sangat dalam. Pusaran air pada air terjun yang jatuh di dasar menghasilkan pusaran dan mampu 'menyedut' mangsa sehingga lemas.

Jadi berpada-pada apabila berseronok di sini. Selagi beringat dalam soal keselamatan diri, rakan-rakan atau keluarga yang dibawa, anda tetap memperoleh keseronokan bukan saja air terjun tetapi juga hutan Sungai Chiling.

Lebih menyeronokkan lagi anda boleh bermandi-manda sambil 'bermain' dengan ikan kelah yang banyak terdapat di Sungai Chiling.

Jangan sesekali anda cuba menangkap ikan ini kerana ia dilindungi oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Berita Harian X