Ahad, 28 Februari 2016 | 12:04am
ANTARA rutin harian Mohamad Ali memandikan lembu ternakannya. - Foto Abdullah Yusof
SEBAHAGIAN lembu yang diternak Mohamad Ali dalam kandangnya dekat Rawang. - Foto Abdullah Yusof
MOHAMAD Ali memproses rumput untuk lembu peliharaannya di Rawang. - Foto Abdullah Yusof

Tidur bersama demi keselamatan lembu


RAWANG: Sesiapa sahaja pasti berada dalam kebimbangan, apabila khidmat mereka tidak lagi diperlukan majikan atau diberhentikan.

Mereka yang mempunyai keluarga, pastinya berdepan tekanan lebih tinggi kerana perlu memikirkan soal makan minum, penginapan, persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Penternak lembu, Mohamad Ali Abu Seman, 43, pernah melalui detik getir itu apabila khidmatnya sebagai pemandu lori simen, tidak lagi diperlukan selepas bekerja lebih 10 tahun.

Bapa kepada empat orang anak ini ditawar Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun 2005, selepas majikan memutuskan menjual lori yang dipandu kerana mengguna perkhidmatan syarikat pengangkutan lain.  

Bermodalkan pampasan sebanyak RM50,000, Ali memilih untuk menternak lembu demi kelangsungan hidup menyara keluarganya.


MOHAMAD Ali sentiasa memastikan lembunya sihat daripada sebarang penyakit. - Foto Abdullah Yusof

SEBAHAGIAN lembu dalam peliharaan Mohamad Ali sementara mendapat pembeli. - Foto Abdullah Yusof

Bermula daripada 15 lembu, dia kini mampu mengukir senyuman dengan sekurang-kurangnya 40 ternakan itu masuk dan keluar kandangnya untuk urusan jual beli setiap minggu.

"Segala-galanya bermula kerana minat. Lembu ini umpama terapi apabila masalah yang dihadapi bagaikan hilang apabila dapat membelai ternakan, sebab itu saya pilih menternaknya selepas VSS.

"Berbekalkan pampasan VSS, 11 tahun lalu saya hanya mampu membeli dan menternak 15 ekor, sekarang 80 lembu mampu dimuatkan dalam kandang ini pada satu masa," katanya ketika ditemui BH di kandang ternakannya, di sini, baru-baru ini.

Beliau tidak menafikan, penyakit haiwan dan kecurian ternakan menjadi cabaran terbesar perlu dihadapi penternak sepertinya kini.

"Sepanjang 11 tahun ini, antara masalah yang saya hadapi hanya membabitkan penyakit cacing tetapi ia dapat diatasi dengan pemberian air garam kepada ternakan.

"Malah, setahun sekali pegawai veterinar akan datang memberikan suntikan," katanya yang kini sanggup tidur di kandang bersama dua pekerjanya bagi memastikan keselamatan ternakan mereka.


MOHAMAD Ali membawa rumpai yang dijadikan makanan lembu ternakannya di Rawang. - Foto Abdullah Yusof

MOHAMAD Ali memproses makanan untuk lembu peliharaannya dalam kandang dekat Rawang. - Foto Abdullah Yusof

Ditanya bekalan lembu bagi ternakan, Ali berkata, beliau lebih selesa meraih lembu kampung daripada penduduk, berbanding ternakan import.

"Harganya lebih murah kerana tidak membabitkan pertukaran nilai mata wang dan kebiasaannya pada hujung tahun ramai orang yang membela lembu akan menjual ternakan bagi membiayai persekolahan anak-anak.

"Sekiranya tidak mencukupi, baru saya mendapatkan lembu import dari Thailand dan kebiasaannya empat bulan sebelum sambutan Aidiladha kerana permintaan ketika itu amat tinggi," katanya.

Selain dijual untuk sambutan Aidiladha, pemilik Ali Maju Farm Enterprise itu juga membekalkan ternakannya kepada pusat sembelihan di Shah Alam serta bagi tujuan aqiqah, selain mengambil upah menangkap lembu liar.

Berita Harian X