Ahad, 28 Februari 2016 | 12:00am

Di mana novel sastera dalam filem dan drama tempatan?


ANTARA novel yang berada di pasaran. - Foto hiasan

FILEM, drama, telemovie Melayu dewasa ini sering kali memaparkan naratif mengenai cinta sesama manusia yang bukan sedikit pengaruhnya terhadap penonton namun sehingga membawa kepada perlakuan di luar ruang komposisi frem yang diwujudkan seseorang pengarah.

Jika dilihat, kebanyakan drama-drama mahu pun filem tempatan lebih tertumpu kepada tema cinta atau korporat dengan jalan ceritanya lebih kepada unsur-unsur negatif seperti curang, kehidupan sosial yang teruk, hasad dengki dan cantas-mencantas. Si miskin terjebak dengan cinta si orang kaya, sama ada akan terus dihina atau pun sebaliknya, kisah-kisah sebegini banyak dipaparkan di kaca televisyen.

Karya novel selalunya diadaptasi ke dalam bentuk filem kerana mendapat tempat di hati pembaca. Pelbagai bentuk tema atau genre untuk dibaca dan menonton apabila sudah diterbitkan ke dalam bentuk filem.

Novel yang diadaptasi adalah bertujuan komersil, justeru biasanya ia sudah pun mendapat tempat di hati pembaca.

'Best Seller' inilah perkataan yang dicari-cari oleh penerbit filem tempatan mahu pun luar negara untuk mencuba ke dalam bentuk layar perak. Kebiasaannya novel yang diangkat adalah daripada penulis yang sudah dikenali ramai akan menjadi tumpuan penerbit filem.

Namun mengalih sebuah novel ke layar perak bukanlah sekadar memberikan dialog dari halaman karya itu sahaja.

Mengetahui karakter dalam sesebuah novel bukan daripada apa yang diucapkan dalam bentuk ayat tetapi menjadi lebih berkesan apabila pembaca atau penulis skrip dapat memahami pemikiran karakter tersebut. Kebiasaan pemahaman karakter dalam novel dapat difahami menerusi pandangan daripada narrator.

Dalam pembukaan novel A Death in the Family misalnya, James Agee menerangkan watak kanak-kanak lelaki, Ruful sehingga enam muka surat dengan menulis bagaimana kanak-kanak ini berjalan pulang bersama bapanya sambil menikmati musim panas ketika itu.

Dalam perjalanan itu, diceritakan bagaimana perasaan percaya, sayang dan rasa selamat mereka bersama. Bagaimana situasi ini berlaku dalam filem? Ya, keadaan yang sama cuba digambarkan secara visual bergerak dengan emosi yang hampir sama.

Perbezaan ketara antara novel dan filem dapat dilihat dari sudut persepsi minda yang memberi stimulasi terhadap imej visual yang digarap. Manakala penulisan menerusi barisan ayat dapat dibuat secara tidak langsung (bayangan imej). Filem lebih berbentuk pengalaman sensori daripada pembacaan.

Menurut Amy Herzog (2000), konsep sensory-motor schema yang dibangunkan oleh ahli falsafah psikoanalisis iaitu Deleuze adalah mengenai struktur dan peralihan yang berlaku secara mendatar serta logik kepada sebab dan akibat. Apabila lengkap pemikiran itu maka terhasillah sebuah sekuen yang boleh difahami oleh audien. Selain daripada pengucapan baris dialog, filem juga mengandungi warna, pergerakan dan bunyi.

Novelis popular seperti Ahadiat Akashah Kairuddin Akashah merupakan salah seorang penulis yang karyanya diangkat ke dalam bentuk filem pada tahun 2010.

Novel bertajuk Lagenda Budak Setan yang diterbitkan sekitar tahun 1995 dibawah arahan Sharad Sharan mendapat tempat di hati penonton kerana tema cinta.

Kisah Kasyah bersama rakan sekumpulannya, Sapi, Man dan Cin Cai merupakan pelajar nakal yang sering membuat onar dan terkenal kerana sering dikenakan tindakan disiplin.

Namun, sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kemunculan pelajar baru, Ayu. Ayu telah benar-benar menambat hati Kasyah, membuat dia jatuh cinta. Episod baru hidup Kasyah pun bermula. Selepas dua minggu ditayangkan, filem ini berjaya mengutip RM 3 juta dan berjaya memikat lebih 300,000 penonton ketika itu.

Menurut Amirah Amaly (2010), Ia satu perkembangan memberangsangkan apabila penonton mula mengalihkan perhatian kepada filem yang menggunakan novel pop. Manakala tahun 2011 menyaksikan kehebatan filem Ombak Rindu yang berjaya mengutip RM10.9 juta hasil jualan tiket.

Ombak Rindu novel pop bertema cinta antara si kaya dan miskin. Kemelut anak orang kaya yang terjebak dengan cinta si miskin menjadi pilihan penerbit filem untuk diketengahkan ke dalam bentuk filem.

Corak pemilihan ini berterusan sehingga hari ini, naskhah begini mula membanjiri stesen televisyen dalam bentuk telemovie dan drama bersiri.

Antara novel yang dimaksudkan ialah Rindu Awak 200%, Cinta Si Wedding Planner, Tundukkan Playboy itu, Kimchi untuk Awak. Adaptasi novel Shah dan Sha baru sahaja selesai ditayangkan di Astro Ria.

Inilah pilihan yang diingini oleh penonton Malaysia. Dibuai-buai dengan soal cinta sesama manusia dengan tajuk yang agak merosakkan bahasa Melayu. Orang Malaysia terutama gadis-gadis Melayu memang amat suka kepada perkara berkaitan percintaan.

Ramai yang mimpikan lelaki sempurna, berduit seperti anak Datuk, alim persis ustaz, romantik laksana putera raja. Maka disebabkan itu banyak filem, drama dan novel yang dihasilkan dengan tema cinta, kerana permintaannya banyak, dan permintaan yang banyak itu yang boleh menghasilkan keuntungan.

Mungkin mereka berfikir, buat apa mahu menghasilkan tema detektif dan penyiasatan seperti CSI jika yang menonton hanya beberapa orang, berbanding membuat drama cinta suamiku seorang anak raja kaya raya yang mampu memperoleh tontonan sebanyak 1 juta orang pada waktu Maghrib?

Corak ini dapat kita bandingkan dengan pilihan novel yang dipaparkan di pawagam di Barat terutamanya Hollywood. Benar terlampau banyak filem yang dikategorikan Kelas B di sana.

Tidak dinafikan, novel ke filem mereka terpilih dan tidak tertumpu kepada cinta semata-mata. Naskhah Harry Porter, Alice in Wonderland dan Twilight yang berjaya pecah panggung seperti ini antara contoh filem yang berjaya menarik perhatian penonton.

Pengalaman bersama watak-watak utama dalam novel tersebut memudahkan penonton memahami jalan cerita dan menimbulkan keseronokan sehingga ke hujung cerita.

Penonton Malaysia dan barat agak berbeza dari segi keterbukaan untuk memikirkan visual yang agak berat. Sasaran penerbit filem Malaysia melihat kepada pola umur remaja sahaja kerana mudah untuk mendapat rating yang tinggi.

Impian remaja dalam soal cinta sentiasa dibuai-buai. Inilah kekurangan kita dalam mendidik masyarakat dalam bentuk filem. Pemikiran kita masih lagi kekal untuk memaparkan cinta semata-mata. Barat seringkali mencabar pemikiran penonton dalam menilai naratif mereka menerusi garapan syot, sinematografi, pencahayaan yang nyata kesemua elemen perfileman ini memainkan peranan menyampaikan makna.

Makna yang berat tidak mampu dihadam oleh penonton Malaysia, walaupun sudah ramai yang celik tentang apa itu filem, namun disebabkan faktor keuntungan mengatasi nilai ilmu maka seringkali penonton kita sentiasa disogokkan dengan tema cinta sia-sia.

Apabila kurang popular, maka kuranglah produknya di pasaran, kerana itulah pun strategi asas dalam perniagaan. Drama-drama dengan tema sebegini jelas merosakkan pemikiran rakyat baik golongan tua mahupun muda.

Tambah merunsingkan jika drama sebegini ditonton oleh anak-anak kecil, ditakuti unsur-unsur negatif tersebut akan sebati dalam jiwa individu berkenaan apabila mereka meningkat dewasa. Bagi saya, drama dengan tema sebegini mampu menjadi medium dalam mencorak pemikiran rakyat ke arah lebih positif dan bermotivasi.

Ia juga dapat memberi inspirasi kepada penonton di peringkat sekolah dan universiti dalam mengejar impian dan cita-cita.

Selain itu, saya berharap tema kerjaya dapat dijadikan pertaruhan penerbit filem akan datang. Semangat setia kawan, tidak mudah mengaku kalah, serta dapat memberi gambaran tentang cabaran serta realiti yang dialami oleh profesional di dalam bidang pekerjaan tertentu.

Antaranya seperti kerjaya seorang peguam cara, polis, bomba, cikgu, pelukis, juruterbang, saintis dan lain-lain.

Saya mengharapkan tiba masanya akan ada produksi Malaysia yang berani menghasilkan drama-drama di mana jalan ceritanya fokus pada kerjaya dan membawa mesej positif.

Beranilah mengubah pemikiran masyarakat dan bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata. Stesen TV pula sentiasa mengharap perkara yang sama untuk menaikkan keuntungan masing-masing.

Saya merasakan penonton masa kini sudah banyak akses bagaimana seni perfileman mahupun karya sastera dihasilkan dengan pelbagai tema. Mereka juga sudah kaya dengan ilmu yang mampu menolak tema cinta sedemikian. Namun kita tidak dapat lari daripada nilai emosi dan psikologi manusia yang kadang-kadang terpaksa menerima sajian filem sebegini.

Di manakah arah karya sastera ke filem sepuluh tahun akan datang? Adakah kita mampu mengubah pemikiran penerbit filem itu sendiri? Anda sendiri mampu menjawabnya.

gn4id:12227763

MFazmi Hisham adalah Pensyarah Program Teknologi Seni Visual (Filem/Video) Universiti Malaysia Sabah.

Berita Harian X