Sabtu, 27 Februari 2016 | 4:32pm

PPD wajib hantar laporan keadaan sekolah 4 bulan sekali


MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kiri) bersalaman bersama penduduk ketika hadir di Karnival Lubuk Merbau Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Awam Felda Lubuk Merbau. - Foto Shahrul Hafiz Zam

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan akan mewajibkan pegawai pendidikan daerah (PPD) menghantar laporan terkini mengenai pemantauan keadaan sekolah termasuk struktur bangunan di kawasan masing-masing secara berkala.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata laporan berkala empat bulan sekali itu penting untuk mengenal pasti sebarang risiko bahaya akibat struktur bangunan sekolah yang usang atau rosak.

"Menjadi tanggungjawab PPD untuk pantau dan ambil tahu keadaan semua sekolah di kawasan masing-masing. Contohnya, di Padang Terap, lebih 30 sekolah perlu dipantau.

"PPD perlu tahu dan jika ada kerosakan atau risiko bahaya, ia perlu dimasukkan dalam laporan itu...kalau ada kes membabitkan kecederaan murid, PPD perlu jawab kepada kita (kementerian) sebab ia akan jadi KPI (Indeks Pencapaian Utama) bagi setiap PPD," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lubuk Merbau di FELDA Lubuk Merbau, di sini, sebentar tadi.

Baru-baru ini, tembok tingkap Sekolah Kebangsaan Jasin, Melaka, runtuh hingga mencederakan seorang murid, Nurul Izzatul Amira Zakaria, 8, yang kebetulan melalui laluan berkenaan.

Berita Harian X