Sabtu, 27 Februari 2016 | 6:57am

Bila orang Islam hedonistik


- Gambar hiasan

Kunta Kinte nak mula dengan minta banyak-banyak maaf kalau apa yang Kunta Kinte tulis kali ini menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Maklumlah, bila kita cakap hal agama, mesti ada yang setuju dan tak setuju. Tapi Islam ajar kita berfikiran terbuka, dengar semua pandangan dan guna akal fikiran yang waras untuk buat pertimbangan.

Ramai orang Islam tak baca al-Quran. Kalau baca pun tak faham sebab tak faham bahasa Arab. Tak ramai yang baca terjemahan. Bila ada orang nak baca terjemahan, ada orang kata itu bukan al-Quran.

Yang baca dan faham al-Quran pula ramai tak amalkan ajarannya. Kalau amal pun mereka ambil sana sini yang sesuai untuk mereka saja.

Kunta Kinte pun bukanlah dalam sangat pengetahuan agama dan al-Quran. Tapi daripada apa yang Kunta Kinte baca dan faham, Kunta Kinte berani kata ramai orang Islam tak amalkan semangat ajaran al-Quran.

Gaya hidup melampau

Allah SWT suruh baca, orang Islam malas baca. Allah SWT ajar, orang Islam malas belajar. Al-Quran ajar kita sederhana dalam semua hal tapi ramai yang melampau.

Tapi hari ini dengan adanya saluran maklumat baharu yang berasaskan internet, kita boleh tengok dan baca gaya hidup mewah sesetengah orang Islam dan sikap fanatik sesetengah yang lain.

Kunta Kinte berani kata gaya hidup mewah sesetengah orang Islam lebih teruk dan melampau berbanding bukan Islam. Islam kata jangan menunjuk-nunjuk, jangan sombong dan jangan riak.

Tapi kalau kita baca surat khabar, tengok televisyen, dengar radio dan layari internet, yang kita dapati adalah sebaliknya.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata Kunta Kinte jijik tengok laman Facebook sesetengah orang, termasuk wartawan, pensyarah dan orang politik yang pagi-pagi buta lagi dah pamer gaya hidup mewah.

Coffee latte, espresso dan cappuccino yang berbelas-belas ringgit secawan dan tayang kenderaan pacuan empat roda serta motosikal besar mereka sedangkan kita tahu di Malaysia masih ramai orang miskin.

Rancangan Makanan Dunia (World Food Programme), sebuah badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata 795 juta penduduk dunia atau seorang dalam sembilan tak cukup makanan untuk hidup sihat dan cergas.

Kemudian kita tengok pembesar Islam di seluruh dunia yang sana-sini cakap pasal agama dan guna agama tapi cara serta gaya hidup mereka lebih teruk daripada orang yang tak ada agama.

Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata lebih hedonistik, lebih mewah dan lebih menunjuk-nunjuk daripada pembesar zaman Firaun atau orang kafir hari ini.

Baru-baru ini Kunta Kinte tengok dalam laman video YouTube, iaitu tiga daripada lima pemilik pesawat persendirian (private jet) paling mahal di dunia adalah orang Islam - seorang ahli perniagaan dan dua pemerintah.

Tapi kita tengok Bill Gates, orang paling berjaya dan kaya di dunia dia tak pakai kapal terbang macam itu. Kalau dia pakai pun kita tak boleh kata apa-apa pasal duit titik peluh dia.

Sebaliknya dia dan isteri, Melinda buat yayasan kebajikan. Sejak yayasan itu ditubuhkan pada 2000 hingga 2014, mereka sudah derma AS$44.3 bilion (kira-kira RM193 bilion) untuk kebajikan, khususnya dalam bidang perubatan, di seluruh dunia.

Tayang kemewahan

Sepatutnya pembesar Islam yang jadi kaya-raya kerana hasil bumi pemberian Allah SWT lebih bersyukur dan tunjuk sifat sederhana.

Mereka sepatutnya lebih bersyukur kerana kekayaan yang mereka nikmati itu bukan kekayaan yang macam Bill Gates cipta, tapi semata-mata dengan menggali hasil bumi pemberian Allah SWT.

Kunta Kinte tak mahu ungkit pasal ujian dan balasan Allah SWT. Tapi kalau kita tengok apa yang berlaku kepada negara orang Islam hari ini, suka tak suka kita kena balik kepada aspek pemberian, ujian dan pembalasan Tuhan.

Negara Islam kucar-kacir

Banyak negara orang Islam kucar-kacir, dilanda perang dan kemiskinan sampai rakyat jelata terpaksa lari macam haiwan ke negara orang kafir. Orang kafir pula yang bagi perlindungan kepada orang Islam yang lari daripada perang sesama sendiri.

Sekarang negara Islam yang kaya dengan hasil bumi, khususnya petroleum dan gas, dilanda pula oleh kejatuhan harga yang mereka sendiri cetuskan bila berlumba-lumba pam minyak dari perut bumi.

Pasal itulah bila Kunta Kinte ingat balik pesan Allahyarham ayah Kunta Kinte, Kunta Kinte rasa kita jangan taksub sangat atau cepat percaya kepada orang yang bila cakap guna nama Allah SWT, tak putus-putus pergi umrah dan asyik tadah tangan ke langit tapi lain yang Tuhan suruh, lain yang dia buat.

Wallahuaklam.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda

Berita Harian X