Jumaat, 26 Februari 2016 | 11:22pm

Media Prima lantik ahli Lembaga Pengarah baharu


DATUK Mohd Nasir Ahmad (kiri) dan Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu bagi kumpulan dan anak syarikatnya, termasuk The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Synchrosound Studio Sdn Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Mohd Nasir Ahmad, 62, dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bagi Media Prima dan Synchrosound Studio.

Beliau memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan adalah Felo bagi Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom serta seorang Akauntan Bertauliah, Malaysian Institute of Accountants (MIA).

Mohd Nasir pernah memegang jawatan Presiden MIA dari Ogos 2011 hingga Julai 2013 dan kini menjadi Ahli Majlis ACCA United Kingdom.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad dan Malaysia Transformer Manufacturing Sdn Bhd.

Beliau kini adalah Ahli Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad, Sumatec Resources Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, CIMB Bank Berhad, CIMB Group Sdn Bhd, MIMOS Berhad dan SIRIM Berhad.

Sementara itu, Datuk Seri Subahan Kamal, 50, dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di NSTP.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Perakaunan dari Southern Illinois University at Carbondale, Amerika Syarikat.

Beliau juga adalah Pengerusi Can One Berhad dan Wawasan Qi Properties Sdn Bhd, serta berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kian Joo Berhad, selain Presiden Konfederasi Hoki Malaysia.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata perubahan di peringkat lembaga pengarah itu mencerminkan komitmen Media Prima dalam mengukuhkan lagi kedudukan sebagai kumpulan media bersepadu terunggul di Malaysia.

"Pelantikan Datuk Mohd Nasir sebagai Ahli Lembaga Pengarah Media Prima, yang mana 70 peratus daripada ahlinya adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, jelas mencerminkan komitmen Media Prima untuk melaksanakan tadbir urus korporat yang baik," katanya dalam kenyataan.

112 dibaca
Berita Harian X