Jumaat, 26 Februari 2016 | 10:10pm

UMNO Johor akur keputusan MT

PASIR GUDANG: UMNO Johor akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT), yang sebulat suara memutuskan penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai timbalan presiden parti, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau berharap UMNO Johor dapat terus melaksana dan meletakkan keutamaan dalam agenda penyatuan parti.

"Dari awal saya mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan saya tidak hadir mesyuarat MT berikutan menggantikan Tuanku yang tidak berkesempatan hadir di sini (Perasmian Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang).

"Saya tidak tahu apa yang dibincangkan dalam msyuarat itu tetapi kalau diambil dari kenyataan dibuat akhbar dan juga MT, ia merujuk pada soal betapa perlunya Timbalan Presiden itu membantu menjayakan tanggungjawab Presiden parti.

"Saya percaya apa pun keputusan dibuat akan ada yang suka dan tidak suka, tetapi hakikatnya, kita perlu bergerak dalam parti dan keputusan sudah dibuat MT. Saya percaya dan akur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media selepas menyempurnakan perasmian Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang kali ke-21, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sama ada prestasi UMNO Johor terjejas dengan keputusan itu, Mohamed Khaled, berkata jawatan Timbalan Presiden dipilih dari seluruh negara dan bukan Johor semata-mata.

Berita Harian X