Selasa, 21 Oktober 2014 | 12:45pm

Lelaki pulang bercuti terkejut rumah, kereta hangus


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Batu Lintang bertungkus lumus memadamkan kebakaran rumah teres dua tingkat di Jalan arang di sini hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki yang baru pulang bercuti terkejut apabila rumah dan dua kereta miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Arang, di sini kira-kira jam 8 pagi tadi.

Setibanya di rumah, mangsa Chai Kian Min, 58, mendapati kawasan rumahnya dipenuhi anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

Chai berkata, ketika kejadian dua anak beliau pergi menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) manakala saudara yang tinggal bersebelahan turut tidak menyedari kejadian itu.

Katanya, saudaranya yang tinggal bersebelahan hanya tersedar apabila terhidu bau asap dan apabila membuat pemeriksaan, api sudah memusnahkan separuh rumah.

"Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak sangka kepulangan saya daripada bercuti disambut dengan berita ini," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Tiong Ling Hii, berkata bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.07 pagi.


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Batu Lintang bertungkus lumus memadamkan kebakaran rumah teres dua tingkat di Jalan arang di sini hari ini.

Katanya, seramai 41 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Kuching bergegas ke lokasi kejadian.

"Tiga rumah terbabit dalam kebakaran ini, sebuah rumah musnah 100 peratus, dua lagi 30 peratus terbakar.

"Rumah pertama yang terbakar, dipercayai dijadikan bengkel membaik pulih kusyen berdasarkan penemuan span, kertas dan beberapa bahan mudah terbakar.

"Api dipercayai bermula di belakang rumah dan merebak ke dua rumah di kiri dan kanan. Ketika kejadian, tiada mangsa di rumah. Punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan. Api berjaya dikawal pada jam 9.05 pagi," katanya.

91 dibaca
Berita Harian X