Jumaat, 26 Februari 2016 | 7:59pm

Fara sedih hari terakhir di konti Hot FM


FARA Fauzana sayu apabila mengenangkan beliau akan meninggalkan pendengar dan peminat yang banyak memberi sokongan kepadanya.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio popular, Fara Fauzana, mengakui sedih untuk meninggalkan konti Hot FM selepas 10 tahun ke udara bersama stesen berkenaan.

Kata Fara, banyak pengalaman berharga diperolehnya sepanjang berkhidmat di stesen terbabit, dengan mengendalikan segmen AM Krew.

"Saya sedih dan sebak kerana bakal menjadikan pengalaman 10 tahun berada konti Hot FM sebagai kenangan. Banyak memori tercipta di bilik konti terbabit dan sepanjang kerjaya sebagai penyampai Hot FM. Ia akan terus tersemat dalam jiwa," katanya.

Jika suasana di konti radio terbabit pada sebelah pagi selalunya ceria dengan gelak tawa Fara, Muhammad Azmir Selamat (AG) dan Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), namun keadaannya agak berbeza hari ini.

"Hari terakhir ke udara tadi turut disertai oleh pengurusan radio dan penyampai yang lain. Jadi, ia sedikit sebanyak membuatkan saya sebak dengan perkongsian pengalaman dan juga kata-kata semangat mereka berikan," katanya.


FARA Fauzana ditemani AG (kiri), Seelan Paul, Liza dan Ikhwan pada hari terakhirnya di konti Hot FM.

Kata Fara lagi, lebih membuatkan hatinya sayu apabila mengenangkan beliau akan meninggalkan pendengar dan peminat yang banyak memberi sokongan kepadanya.

"Pagi tadi ketika ke udara, banyak komen yang ditinggalkan peminat dan pendengar yang menceritakan perjalanan 10 tahun mereka bersama saya di radio. Apabila membaca satu persatu komen yang ditulis, ia memang membuatkan saya berasa sebak.

"Kesempatan yang ada pagi tadi juga, saya sempat membalas beberapa komen peminat di laman sosial peribadi dan Hot FM sebagai tanda terima kasih kepada mereka. Sokongan yang diberikan peminat sepanjang perkhidmatan saya di Hot FM adalah sungguh bermakna," katanya.

Selain Fara, tiga lagi penyampai lain yang turut meninggalkan radio terbabit ialah AG, Mohd Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) dan Khairu Norliza Khairudin (Liza).

Berbeza dengan Fara, ketiga-tiga personaliti itu bagaimanapun akan memulakan tugasan sebagai penyampai di stesen radio baharu di bawah Rangkaian Radio Media Prima Berhad bermula 3 Mac ini.

244 dibaca
Berita Harian X