Jumaat, 26 Februari 2016 | 5:47pm

`Dekat Je' tarik pelancong Singapura


TIMBALAN Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tengah) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) melawat gerai pelancongan selepas merasmikan Cuti-Cuti 1Malaysia 'Dekat Je' Travel Fair di KSL City, Johor Bahru. - Foto Zulkainain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Penganjuran pameran pelancongan Cuti-Cuti 1Malaysia `Dekat Je' di negeri ini berupaya menarik lebih ramai pelancong dari Singapura.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pameran tiga hari yang julung kali dianjurkan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, bermula semalam di KSL City, di sini, menawarkan pelbagai pakej pelancongan domestik pada harga berpatutan.

Katanya, ia memberi peluang kepada pelancong antarabangsa khususnya dari Singapura melawat destinasi pelancongan membabitkan segmen keindahan pantai, pulau, eko-kembara dan taman tema.

"Pameran pelancongan seperti ini bukan saja mampu menarik kehadiran pelancong Singapura berikutan kedudukan negara itu yang dekat dengan Johor Bahru, malah turut mempromosi pelancongan domestik kepada rakyat tempatan.

"Kita mendapati berlaku sedikit penurunan kemasukan pelancong dari Singapura ke Johor tahun lalu iaitu sebanyak 11 juta orang berbanding 12 juta tahun sebelumnya.

"Kita yakin pameran ini mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pameran pelancongan Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) 'Dekat Je' 2016, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Domestik) Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Chong Yoke Har serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Pada majlis itu, aplikasi panduan pelancong `DekatJe' turut dilancarkan, bertujuan memudahkan pelancong merancang dan menguruskan percutian secara berkesan dengan penawaran pelbagai pakej pelancongan serta maklumat mengenai destinasi ingin dikunjungi.

Mas Ermieyati berkata, seramai 60 peserta industri pelancongan, termasuk pengusaha pusat peranginan dan hotel menyertai pameran pelancongan, yang menyasarkan jualan pakej bernilai lebih RM1 juta melalui penawaran pelbagai produk serta pakej pelancongan domestik.

Berita Harian X