Jumaat, 26 Februari 2016 | 4:26pm

CGC sasar lulus pinjaman RM4 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan untuk meluluskan sebanyak 8,650 kemudahan pinjaman bernilai RM4 bilion pada tahun ini walaupun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata sasaran itu akan dicapai terutamanya melalui pakatan strategik dengan institusi kewangan melalui portfolio dan jaminan borong serta skim perkongsian risiko lain.

Katanya, CGC kekal optimis ada peluang untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meneruskan perniagaan meskipun ketika situasi mencabar.

"Saya ambil beberapa contoh misalnya, kita lihat ada peluang untuk menyediakan pembiayaan kepada kontraktor kecil yang melakukan kerja sub kontraktor dalam projek MRT Laluan 2, Lebuh Raya Pan Borneo dan hab halal.

"Tahun lalu, kita sudah meluluskan 8,225 kemudahan pinjaman yang bernilai RM3.4 bilion," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Latihan Graduan (GTP) di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

Turut hadir, Pengerusi CGC, Datuk Agil Nat.

Pada majlis itu, seramai 10 graduan menganggur terpilih untuk menyertai GTP bagi menimba pengalaman dan latihan kemahiran kerja yang mana adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) CGC.

Mengenai majlis itu, Zamree berkata, GTP itu akan membabitkan tiga fasa iaitu pengetahuan asas perniagaan serta produk CGC dan seterusnya terbabit dalam aktiviti jualan dan pemasaran.

"Kemudian, kita akan memberi nasihat kepada graduan ini apakah pilihan sesuai sama ada ke organisasi lain atau terbabit dalam perniagaan selepas mereka melengkapkan latihan selama 12 bulan," katanya.

Sementara itu, Johari berharap sebahagian besar graduan itu akan mula berfikir menjadi usahawan selepas menamatkan latihan mereka.

Berita Harian X