Jumaat, 26 Februari 2016 | 4:02pm

TH nafi beri jaminan korporat kepada syarikat bersekutu

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan tuduhan memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Sehubungan itu, Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Lembaga TH meminta orang ramai tidak terpedaya dengan pelbagai dakwaan berdasarkan siri dokumen yang dipaparkan di laman sosial.

"Tuduhan kononnya pelaburan TH dalam THHE akan mengalami kerugian RM1.4 bilion adalah tidak berasas.

"Sebagai pemegang saham terbesar dalam THHE yang bergiat dalam industri minyak dan gas, TH amat memahami pelbagai cabaran dihadapi industri berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, sebelum ini mendakwa TH memohon Kementerian Kewangan untuk meluluskan jaminan korporat berjumlah AS$228.2 juta (RM963.9 juta) kepada THHE.

Permohonan itu difailkan menerusi satu surat bertarikh 12 November 2015.

Berita Harian X