Jumaat, 26 Februari 2016 | 3:43pm
ANGGOTA bomba dibantu malim gunung meneruskan operasi memadamkan kebakaran di Gunung Pulai. - Foto ihsan malim gunung

Operasi padam kebakaran Gunung Pulai masuk hari keempat

BALING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah membina laluan baharu sejauh tiga kilometer (km) dari puncak ke kaki Gunung Pulai bagi memudahkan unit logistik menghantar peralatan dan bekalan makanan bagi anggota yang menjalankan operasi hari keempat, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatannya, Mohamad Yunus Abu, berkata operasi memadam kebakaran berjalan lancar namun masih ada baki kira-kira setengah hektar kawasan kebakaran belum dipadam sepenuhnya.

Beliau berkata, JBPM menggunakan sebuah jentolak bagi membina laluan hingga ke kaki gunung untuk memudahkan operasi.

"Kita perlu membawa peralatan dan bekalan makanan ke puncak kerana anggota JBPM beroperasi 24 jam di sana," katanya.

Beliau berkata, seramai 70 anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perhutanan dan malim gunung bertugas bagi memastikan kawasan kebakaran dapat dipadamkan.

Selain itu, pesawat Agusta 109 turut membuat pemantauan lokasi yang terbakar manakala pesawat Bombardier CL 415MP dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat lapan siraman di kawasan utara Gunung Baling.

Berita Harian X