Jumaat, 26 Februari 2016 | 12:57pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad
KERATAN berita di BH Online, semalam.

KM arah siasat punca tembok runtuh

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, mengarahkan kes tembok tingkap Sekolah Kebangsaan (SK) Jasin yang runtuh semalam, disiasat segera.

Katanya, pihak pengurusan sekolah perlu melaporkan kes itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi membolehkan tindakan diambil.

"Keselamatan pelajar perlu diberi keutamaan. Kes murid cedera kerana dihempap tembok tingkap sekolah semalam mempunyai kaitan dengan tugas dan tanggungjawab guru besar selaku pengurus di sekolah," katanya selepas merasmikan Dewan Komuniti Ayer Molek di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Wira Md Yunos Husin.

Idris mengulas kejadian tembok tingkap SK Jasin yang runtuh hingga mencederakan seorang murid, Nurul Izzatul Amira Zakaria, 8, yang kebetulan melalui laluan berkenaan, semalam.

Berita Harian X