Jumaat, 26 Februari 2016 | 12:23pm

Kes denggi di Sandakan menurun

SANDAKAN: Bilangan kes denggi di daerah ini menurun 60 peratus daripada 51 kes kepada 21 kes seminggu.

Ia susulan operasi kawalan dan pencegahan denggi mega yang dilancarkan Jabatan Kesihatan Sabah sejak 15 Februari lalu, membabitkan 143 anggota kesihatan di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Christina Rundi, berkata bilangan lokaliti wabak aktif turut menurun 40 peratus iaitu daripada 27 kepada 16 kawasan.

"Sebanyak 25 lokaliti sudah diliputi dengan aktiviti penghapusan tempat pembiakan, membabitkan pemeriksaan 3,609 premis.

"Aktiviti semburan kabus turut dilakukan ke atas 46 lokaliti yang membabitkan kawasan seluas 179.7 hektar," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dr Christina berkata, sehingga kini, aktiviti gotong-royong sudah dilaksanakan di lapan lokasi selain menempatkan 15 pondok panas dilengkapi pameran bahan model dan risalah bagi kempen kesedaran mengenai bahaya denggi.

"Menerusi operasi ini, kita turut mengeluarkan lapan kompaun berjumlah RM4,000 dan 15 notis arahan pembersihan ke atas mereka yang dikesan membiak nyamuk aedes," katanya.

Berita Harian X