Khamis, 25 Februari 2016 | 11:55pm

Majlis Perbandaran Taiping sasar kutip cukai pintu RM17j

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyasarkan kutipan cukai pintu sebanyak RM17 juta tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Md Ariff, berkata hasil cukai pintu itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kemudahan penduduk.

"Kita memberi balik perkhidmatan kepada rakyat dan kerana itu menjadi tanggungjawab rakyat membayar cukai pintu. MPT menanggung kos operasi antara RM23 juta hingga RM24 juta setahun," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPT di sini, hari ini.

Katanya, MPT mempunyai 73,000 pembayar cukai berdaftar.

Sehubungan itu, beliau berkata MPT akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan termasuk menyita rumah pemilik premis yang mempunyai tunggakan cukai pintu selain menambah kakitangan baharu bagi memperhebatkan operasi.

"Pasukan penguatkuasa juga membuat rondaan dari rumah ke rumah untuk mengesan pemilik terbabit untuk mengutip cukai yang tertunggak. Kebanyakan tunggakan membabitkan pemilik premis kediaman," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata dua banglo di Bukit Larut iaitu Beringin dan Angkasa yang sedang dibaik pulih akan dibuka untuk tempahan mulai 16 Mac depan.

Katanya, kadar sewa yang ditetapkan di Beringin ialah RM400 semalam dan RM600 bagi Angkasa.

"Pembukaan kedua-dua banglo itu kerana permintaan pelancong ke Bukit Larut meningkat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X