Khamis, 25 Februari 2016 | 11:54pm

Pemandu van kilang maut dirempuh treler


RAMLI (gambar kecil) maut selepas terbabit dalam kemalangan apabila kereta yang dipandunya dirempuh sebuah treler ketika membuat pusingan U di Kilometer 51 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, petang tadi. - Foto ihsan PDRM

PASIR PUTEH: Seorang pemandu van kilang maut dalam kemalangan apabila kereta yang dipandunya dirempuh sebuah treler ketika membuat pusingan U di Kilometer 51 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Suprintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa Ramli Ahmad, 51, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dalam nahas itu kira-kira jam 2.30 petang.

Abdul Rozak berkata, mangsa dari Terengganu yang memandu kereta jenis Proton Iswara, berada di bahu jalan sebelum secara tiba-tiba membuat pusingan U sehingga menyebabkan pemandu treler gagal mengelak dan merempuh kereta mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk bedah siasat.

Abdul Rozak berkata, pemandu treler Mohd Fadil Tukiran, 33, dari Johor tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


RAMLI yang bekerja sebagai pemandu van kilang meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. - Foto ihsan PDRM

Berita Harian X