Khamis, 25 Februari 2016 | 8:39pm

Operasi di puncak Gunung Pulai semakin rumit


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di Gunung Pulai.

BALING: Selepas hampir 90 peratus kebakaran dipadamkan dalam operasi tiga hari di puncak Gunung Pulai di sini, pihak berkuasa berdepan cabaran apabila lokasi baharu dikesan terbakar secara tiba-tiba.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamad Yunus Abu, berkata pihaknya mengesan kebakaran baharu di bahagian utara pada ketinggian 400 meter, berbanding aras 250 meter kawasan di selatan sebelum ini.

Beliau berkata, jarak antara kawasan kebakaran tiga hari lalu dengan yang dikesan lewat malam tadi ialah kira-kira satu kilometer dan ia dijangka merebak ke Gunung Baling jika tidak dikawal.

"Api merebak sehingga seluas tiga hektar di utara Gunung Pulai dan kita bimbang percikan api serta bara akan merebak ke kawasan Gunung Baling.

"Cuaca panas dan angin kencang mungkin menyebabkan bara merebak dengan cepat," katanya ketika ditemui di sini, petang tadi.

Beliau berkata, sebuah pesawat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dari Subang akan membantu memadamkan kebakaran di tempat baharu itu dan anggota diarah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Beliau berkata, pesawat itu akan menyedut air di Tasik Beris, Sik sejauh 30 kilometer (km) dari tempat kebakaran sebelum ditebar di kawasan kebakaran.

"Struktur muka bumi bercerun dan hutan tebal turut menyulitkan operasi memadam api kerana bara terjatuh ke dalam lubang dan akan merebak," katanya.

Katanya, 100 anggota terbabit dalam operasi memadam api dengan bantuan sembilan anggota pasukan Gerak Khas Udara dari Pulau Pinang.

Berita Harian X