Khamis, 25 Februari 2016 | 6:06pm

Negeri Sembilan akan bina rumah wakaf


MOHAMAD Hasan menyampaikan replika cek kepada Rusni (dua dari kiri) sambil diperhatikan Shamsulkahar (kanan) pada majlis penyerahan cek contoh Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia kepada Jabatan Pendidikan negeri di Seremban, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan membina sekurang-kurangnya 400 rumah wakaf melalui Dasar Pembangunan dan Pemodenan Negeri Sembilan 2016-2045.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata langkah itu akan menjadikan negeri ini sebagai negeri pertama yang menyediakan rumah seumpama itu di negara ini.

"Rumah wakaf ini akan dibina dan diberikan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan benar-benar memerlukan.

"Kita berharap, menjelang tahun 2045, tiada rakyat negeri ini yang menghadapi masalah tiada rumah dan menjadi gelandangan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek contoh Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia kepada Jabatan Pendidikan negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dan Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil.

Mohamad berkata, 98,000 pelajar di 474 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan menerima bantuan khas berjumlah RM100 yang diagihkan menerusi sekolah masing-masing secara berperingkat, mulai hari ini.

Bantuan membabitkan peruntukan sebanyak RM9.8 juta itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung ibu bapa atau penjaga.

Beliau berkata, bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, walaupun situasi ekonomi negara terjejas akibat dipengaruhi suasana ekonomi global.

Berita Harian X