Khamis, 25 Februari 2016 | 5:34pm

72 penagih dan pengedar ditangkap


SEBAHAGIAN daripada 72 suspek yang ditahan anggota polis Langkawi. - Foto PDRM

LANGKAWI: Polis menahan 72 penagih dan pengedar dadah dalam operasi bersepadu sempena Jihad Perangi Dadah selama tiga hari, berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata 17 daripadanya dikenal pasti sebagai pengedar dan bakal didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 50 tahun, termasuk lima wanita.

"Polis percaya 17 daripada suspek terbabit aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dan ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 manakala selebihnya membabitkan lain-lain kesalahan memiliki dadah," katanya di sini, hari ini.

Katanya, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 1.3 kilogram, syabu (116 gram), ketamin (50 gram), pil ecstasy (75 biji), selain sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM10,655.

"Wang tunai dipercayai hasil jualan dadah dan kereta terbabit disita untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Semua suspek kini direman seminggu di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut sebelum kes diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Berita Harian X