Khamis, 25 Februari 2016 | 4:14pm

Kebakaran puncak Gunung Pulai masuk hari ketiga


KEBAKARAN di kawasan puncak Gunung Pulai. - Foto BERNAMA

BALING: Kebakaran di kawasan puncak Gunung Pulai di sini memasuki hari ketiga dan belum dapat dipadamkan sepenuhnya.

Pelbagai kaedah digunakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, termasuk mengepam air Sungai Ketil ke takungan berhampiran kawasan kebakaran, dalam usaha memadamkannya.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan JBPM Kedah, Mohamad Yunus Abu, berkata operasi memadam dilakukan dengan pecahan tiga kumpulan anggota penyelamat berikutan kesukaran bentuk muka bumi di puncak gunung itu.

"Kita membina tiga takungan air bagi memadam kebakaran dengan bantuan penduduk dan malim gunung.

"Cuaca panas dan angin kencang turut menyukarkan usaha kerana api merebak dengan pantas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, hanya kebakaran di kawasan pergunungan Kampung Padang Cik Mas dapat dikawal sepenuhnya dengan bantuan penduduk tempatan.

Katanya, lebih 100 anggota penyelamat termasuk malim gunung terbabit dalam usaha memadam kebakaran.

"Anggota penyelamat terpaksa bermalam di puncak gunung berikutan keadaan jalan yang sukar untuk berulang-alik turun naik," katanya.

Berita Harian X