Khamis, 25 Februari 2016 | 12:04am
NURHAYBA dan Nurhasyikin ketika ditemui selepas kejadian angin ribut 4 Julai 2015, di Kampung Dungang, Tuaran. - Foto Izhari Ariffin
JAINUDIN bersama keluarga di rumah mereka yang mana bumbungnya pernah diterbangkan angin dan membawa sekali buaian Nurhasyikin. - Foto Izhari Ariffin
KERATAN akhbar BH mengenai kejadian pada 5 Julai tahun lalu.

Nurhasyikin fobia hujan, angin


TUARAN: Tujuh bulan berlalu, namun Nurhasyikin Jainudin, yang pernah diterbangkan ribut fobia apabila mendengar bunyi hujan dan angin.

Kanak-kanak itu yang kini sudah berusia dua tahun seolah-olah mengerti peristiwa yang hampir meragut nyawanya ketika itu dan kini enggan tidur di dalam buaian seperti sebelum kejadian.

Nurhasyikin diterbangkan angin kencang bersama buaiannya yang ketika itu diikat pada alang bumbung rumah ketika ribut melanda Kampung Dungang, dekat sini, pada tengah malam 4 Julai tahun lalu.

Berusia 18 bulan ketika kejadian, Nurhasyikin atau panggilan manjanya Ekin, hanya ditemui setengah jam kemudian oleh ibunya bersama penduduk kampung dalam keadaan tertiarap serta diselaputi lumpur sambil menangis di tengah sawah, kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Ibunya, Nurhayba Nasip, 26, berkata sejak kejadian itu, anaknya yang patah paha kanan dan luka di bahagian anggota badan lain akibat kejadian itu tidak lagi mahu tidur dalam buaian, malah menangis setiap kali melihat buaian dalam rumah.


NURHASYIKIN masih trauma dan enggan tidur dalam buaian lagi. - Foto Izhari Ariffin

RUMAH milik Jainudin Hasim, yang telah dibaiki selepas kejadian angin ribut 4 Julai 2015, di Kampung Dungang, Tuaran. - Foto Izhari Ariffin

"Sebaik pulang ke rumah selepas seminggu dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, saya pernah cuba menidurkan Ekin dalam buaian, namun dia menangis dan meronta-ronta untuk keluar.

"Rasa takut susulan kejadian diterbangkan ribut masih berlarutan sehingga kini dan sejak itu dia hanya tidur di atas tilam bersama kami dan abangnya dalam bilik.

"Selain tidak mahu tidur dalam buaian, Ekin selalu ketakutan apabila hujan dan keadaan cuaca berangin," katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dungang, kira-kira lima kilometer dari pekan Tuaran.

Ribut dan hujan lebat di daerah ini serta beberapa kawasan di Sabah ketika kejadian itu disebabkan susulan ribut tropika `linfa' yang melanda Luzon, Filipina, menyebabkan banyak sekolah serta rumah penduduk mengalami kerosakan.

Nurhayba berkata, Ekin seakan mengerti tragedi pernah menimpanya kerana setiap kali beliau dan suami bertanya mengenai kejadian itu, anak bongsu daripada dua beradik terbabit pasti menunjukkan paha kanannya yang kini sudah sembuh serta bumbung rumah.

Mengimbas lagi kejadian itu, Nurhayba berkata, dia bersama suami dan dua anak tidur dalam bilik sebelum mereka terjaga apabila terdengar bunyi ribut yang kuat dan bumbung seperti mahu tercabut.


KEADAAN sebuah rumah yang rosak selepas ribut di Taman Balok Makmur, Kuantan, malam tadi.

NURHASYIKIN sudah sihat sepenuhnya tetapi masih trauma terhadap hujan dan angin. - Foto Izhari Ariffin

"Menyedari rumah dipukul ribut, saya minta suami memeluk anak sulong, Muhamad Jaein, 6, dan saya pula mahu mendapatkan Ekin yang tidur dalam buaian.

"Namun, tiba-tiba bumbung rumah diterbangkan angin bersama buaian yang diikat pada alang bumbung itu.

"Kami panik dan saya sangka Ekin mungkin sudah kena hempap bumbung sebelum minta bantuan penduduk kampung mencarinya. Kami semua menangis termasuk abang Ekin yang ikut bersama ketika mencari di sawah padi.

"Syukur dia ditemui selamat, sebaik jumpa abangnya peluk dan mencium Ekin sebelum dia dikejarkan ke hospital," katanya.

Bapa Ekin, Jainudin Hasim, 24, berkata Ekin tidak banyak ragam dan aktif walaupun ketika baru keluar daripada hospital dengan keadaan paha masih bersimen menyebabkan kecederaan dialaminya agak lambat pulih.

"Kini, doktor mengesahkan Ekin pulih sepenuhnya dan boleh melakukan rutin seperti kanak-kanak lain," katanya yang berterima kasih kepada pelbagai pihak kerana membantu membaik pulih kerosakan rumahnya.

Berita Harian X